Konsert Estranged Sarat Elemen Kebudayaan Sabah dan Sarawak
Oleh: Picagari Hitam
Selepas 7 tahun ‘vakum’ daripada radar seni tempatan khususnya di Semenanjung, akhirnya kumpulan rock Estranged menyapa teman-teman yang berada di Persada Johor, Johor Bahru pada 3 Febuari lalu menerusi konsert ‘Apa Khabar Teman’.
Konsert Apa Khabar Teman? juga menggunakan tema Hancur Aku yang diambil dari hit lagu sama menerusi album Sepenuhnya Vol. 1 ternyata berjaya menghimpunkan lebih 1000 peminat setia mereka.
Kumpulan Masterpiece terlebih dahulu memanaskan acara yang bermula sekitar jam 8.30 malam itu dengan menyampaikan 6 buah lagu. Meskipun bertindak sebagai ‘opening band’. Kualiti persembahan yang dipamerkan cukup berkarisma.
Alina Murang kemudiannya mengambil alih pentas seraya menghiburkan penonton dengan alunan Sape yang cukup mentententeramkan jiwa meskipun rasa tidak sabar untuk menyaksikan persembahan Estranged membuak-buak.
Inilah antara fokus utama konsert ini di adakan, iaitu untuk memperkenalkan budaya dan alatan muzik Sabah dan Sarawak sepertimana janji Estranged sewaktu sidang media mereka dahulu.
Pastinya perhatian peminat tertumpu kepada band Estranged, memandangkan konsert Apa Khabar Teman ini adalah hasil usaha mereka untuk merialisasikan hasrat peminat di semenanjung khususnya di Johor.
Kehadiran Estranged yang dianggotai Rich (vokalis), Din (gitar) dan Hanafi (gitar) di atas pentas sudah pasti bakal membawa peminat mengimbau momen sewaktu menyaksikan mahupun mendengar deretan lagu-lagu hits mereka satu ketika dahulu.
Kerinduan peminat pastinya terubat setelah Estranged menghadiahkan lebih 15 buah lagu dalam konsert yang berdurasi hamir 2 jam itu. Jelas kelihatan wajah-wajah keriangan apabila mereka menyampaikan lagu Itu Kamu.
Inginkan Kau, Aurora, Bangkit, Mau, Hancur Aku dan lain-lain adalah antara lagu-lagu yang menjadi seleksi persembahan konsert Apa Khabar Teman.
Mereka juga turut berkolaborasi dengan artis-artis kelahiran Borneo seperti Alena Murang, Tuni Sundatang dan At Adau selain turut membawakan lagu-lagu tradisional Sabah dan Sarawak.
Konsert Apa Khabar Teman dimeriahkan dengan paparan LED yang membantu ‘menghidupkan’ suasana selain mainan penataan cahaya yang cukup untuk memberikan warna serta impak dalam sesebuah konsert selain bantuan sistem audio yang cukup ‘mesra’ telinga.