September 8, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Konsert DOLLA Re:Birth The Experience Bakal Diadakan Pada 3 Ogos Ini

3 min read
Spread the love

Kumpulan gadis Malaysia DOLLA telah mengumumkan bahawa mereka akan mengadakan sebuah konsert yang diberi judul “Re:Birth The Experience” baru-baru ini dan konsert tersebut telah dijadualkan untuk diadakan pada 3 Ogos 2024 di Zepp Kuala Lumpur.

Menurut kumpulan tersebut, konsert ini bertujuan untuk menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh peminat, yang menampilkan persembahan baharu dan unik. Sehubungan itu, penganjur konsert tersebut Hitman Solutions yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Rohit Rampal, telah berjanji untuk menyerlahkan kerja keras dan dedikasi DOLLA melalui konsert tersebut.

Selain daripada itu, para anggota DOLLA yang kini terdiri daripada Tabby, Angel dan Sabronzo juga menekankan bahawa konsert ini menandakan era baharu untuk DOLLA, mempamerkan pertumbuhan dan evolusi mereka. Tiket konsert tersebut juga akan dijual mulai 30 Mei 2024.

Berikutan pengumuman konsert tersebut, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, turut memuji perjalanan DOLLA dan impaknya terhadap persada muzik tempatan dan antarabangsa.

Walaupun ditubuhkan semasa pandemik Covid-19 dan juga menyaksikan pengunduran Syasya sebagai anggota DOLLA baru-baru ini, kumpulan itu bagaimanapun terus berkembang maju dengan sokongan daripada peminat, dikenali sebagai iDollas, dan label mereka, Universal Music Malaysia. DOLLA juga telah mendapat pengiktirafan antarabangsa dengan muzik dan tarian mereka.

“Kami di Universal Music Malaysia, sangat teruja untuk mengumumkan konsert DOLLA yang akan datang ini, ia bukti perjalanan luar biasa dan kerja keras mereka. Konsert ini mempamerkan dedikasi dan bakat mereka yang mewakili pencapaian penting dalam misi label kami untuk memartabatkan senario muzik tempatan dan membawa artis Malaysia ke pentas antarabangsa.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian DOLLA dan usaha gigih pasukan kami di belakang tabir dalam menghidupkan konsert ini. Bersama-sama, kami bukan sahaja menghidupkan semula kumpulan nyanyian wanita di Malaysia tetapi juga menetapkan piawaian baharu untuk eksport serantau.

“Bersama-sama, marilah kita semua meraikan kejayaan DOLLA dan masa depan muzik Malaysia yang bertenaga,” kata Kim.

Rohit pula berkata pihaknya sentiasa bersemangat untuk menonjolkan bakat tempatan, kerana pihaknya melalui Hitman Solutions mahu memberikan kumpulan kelahiran Malaysia ini kesempatan untuk meraikan kejayaan dan kerja keras mereka.

Ini adalah kerana baginya, DOLLA telah menunjukkan bahawa kerja keras dan cita-cita besar adalah apa yang diperlukan untuk mencapai impian sendiri, sesuatu yang boleh diimpikan oleh semua artis yang akan datang.

“Oleh kerana itu, bagi kami, DOLLA bukan sekadar penghibur,” kata Rohit.

Sementara itu para anggota DOLLA juga berkata konsert mereka yang dijadualkan untuk diadakan pada 3 Ogos 2024 di Zepp Kuala Lumpur juga akan membolehkan DOLLA mempamerkan semua yang telah mereka pelajari sejak kemunculan mereka beberapa tahun lalu.

Menurut Tabby, peminat mereka boleh menjangkakan karya yang lebih gah dan pada masa yang sama lebih peribadi dari DOLLA melalui konsert itu. Seiring masa berlalu, beliau juga berkata DOLLA akan semakin terlibat dalam semua aspek muzik dan diharapkan penonton dapat mendengar sentuhan DOLLA dalam cara mereka menyampaikan dan menjadikan lagu-lagu lebih unik untuk pendengar dan peminat mereka.

“Saya berharap konsert ini dapat menjadi pengalaman dan kenangan buat semua iDollas yang akan menghadiri konsert itu. Matlamatnya adalah untuk mereka bergembira dan berseronok bersama kami sambil mencipta kenangan yang akan kekal selama-lamanya.

“Kami berhasrat mengadakan persembahan yang menakjubkan dan mencipta pengalaman terbaik untuk peminat tercinta kami. Jadi bersedia untuk dibawa ke dunia DOLLA.

“Yang pasti, kami tidak akan memperlahankan rentak kami untuk karya-karya di masa hadapan,” jelas Tabby.

Seorang lagi ahli kumpulan DOLLA iaitu Angel juga berkongsi sentimen yang sama tentang rancangan DOLLA untuk masa hadapan.

“Konsert DOLLA ini akan menjadi era baharu, kelahiran semula DOLLA. Kami sedang menyediakan susunan lagu DOLLA yang baru dan segar untuk konsert itu. Sudah tentu persembahan yang tidak pernah dilihat oleh sesiapa pun sebelum ini! Ia akan menjadi pengalaman yang penuh emosi dan istimewa untuk iDollas,” kata Angel sekali lagi.

Konsert yang dihasilkan oleh perusahaan konsert dan acara terkenal Malaysia, Hitman Solutions menjanjikan pengalaman visual dan audio yang menakjubkan. Konsert tersebut juga merupakan saluran untuk gadis-gadis ini menunjukkan kelahiran semula DOLLA yang serba baharu dalam perspektif yang berbeza.

“Kelahiran semula DOLLA memegang visi baharu yang berani, satu evolusi yang menangkap intipati keperibadian kami hari ini. Kami bakal melangkah ke satu ruang yang belum diterokai, menerima perubahan dan menghindari segala rintangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Bersedia untuk menyaksikan era baharu DOLLA. Ini bukan sekadar konsert; Ini adalah pernyataan dedikasi kami untuk sentiasa berkembang berserta peluang tanpa had di hadapan. Kami teruja untuk memberi peluang kepada semua yang telah bersama kami untuk mentakrifkan semula DOLLA yang baharu,” kata Sabronzo dari DOLLA.

Tiket untuk Konsert DOLLA yanng bakal berlangsung pada 3 Ogos 2024, Sabtu di Zepp Kuala Lumpur boleh dibeli di laman web www.hitmanlive.com bermula 30 Mei 2024 (Khamis).


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page