Konsert Cipta Raya: M. Nasir Raikan Aidilfitri dengan Cara Luar Biasa

Kredit Foto: Echolaila Pictures
Ketika kebanyakan konsert bertemakan nostalgia atau kejayaan perjalanan seni, Dato’ M. Nasir sekali lagi membuktikan daya kreativitinya yang tiada tandingan. Tahun 2025 bakal menyaksikan satu persembahan yang belum pernah terjadi dalam sejarah kariernya—Konsert Cipta Raya—sebuah acara yang mengangkat lagu-lagu raya ke pentas megah, berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 13 April 2025.

Siapa sangka lagu-lagu raya, yang sering berkumandang hanya di corong radio dan pusat beli-belah setiap kali menjelang Syawal, kini diberikan pentas tersendiri dalam bentuk konsert berskala besar? Inilah yang mahu direalisasikan oleh Icon Entertainment, penganjur yang berjaya mencipta fenomena menerusi konsert CIPTA 1 & 2 M. Nasir. Menyedari sambutan luar biasa terhadap segmen lagu raya dalam konsert terdahulu—terutama dengan tularnya persembahan “Satu Hari Di Hari Raya” tahun lalu—maka lahirlah idea Cipta Raya sebagai konsert spin-off yang pertama seumpamanya.

“Biasanya, spin-off digunakan dalam dunia perfileman. Namun, melihat keunikan karya M. Nasir yang merangkumi pelbagai genre termasuk lagu raya, kami fikir—kenapa tidak? Cipta Raya ialah sebuah keraian Aidilfitri dalam bentuk konsert, menampilkan lagu-lagu raya yang pernah beliau nyanyikan serta cipta untuk penyanyi lain.” Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, menjelaskan konsep unik ini ketika sidang media di JW Marriot Kuala Lumpur pada 10 Mac lalu.
Konsert ini dijangka menampilkan sekitar 20 buah lagu, dengan sekurang-kurangnya 17 daripadanya adalah lagu raya. Ini bukan sekadar konsert biasa—ia adalah satu pengalaman yang membawa peminat ke dalam suasana penuh kehangatan lebaran.

Menariknya, Cipta Raya bukan sekadar konsert, tetapi juga sebuah rumah terbuka eksklusif buat peminat setia. Dengan setiap pembelian tiket, penonton akan dijamu dengan juadah raya sebelum persembahan bermula—menghidupkan semangat Aidilfitri dalam suasana penuh kemeriahan sebelum menyanyi beramai-ramai bersama M. Nasir.
Malah, bagi peminat tegar yang ingin merasai pengalaman lebih istimewa, pakej eksklusif VIP Box berharga RM10,000 turut ditawarkan, lengkap dengan akses eksklusif ke rumah terbuka khas bersama M. Nasir serta pelbagai barangan cenderahati istimewa.
Cipta Raya bukan sekadar tentang muzik, tetapi juga tentang menghidupkan semula nostalgia dan kemeriahan Syawal. Dengan pengalaman lebih lima dekad dalam industri muzik, M. Nasir bukan hanya seorang penyanyi dan komposer, tetapi juga seorang pemimpin dalam seni yang memahami bagaimana menghubungkan muzik dengan jiwa pendengar.

“Cipta Raya adalah sebuah keraian yang bukan hanya menghimpunkan lagu-lagu raya, tetapi juga meraikan kemenangan dan kegembiraan kita semua dalam menyambut Aidilfitri. Ia adalah sesuatu yang sangat istimewa.” Ujar M.Nasir.
Tiket untuk Konsert Cipta Raya telah mula dijual pada 5 Mac 2025 dan boleh didapati menerusi laman rasmi Ticket2U. Harga bermula dari RM258 untuk kategori biasa sehingga RM10,000 untuk pakej eksklusif VIP Box.
Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada konsert bersejarah ini! Dapatkan tiket anda sekarang di: www.ticket2u.com.my/MNasirCiptaRaya

