November 22, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Konsert ‘Battle of Time Exists X Masdo’ Sarat Nostalgia

Spread the love

Kredit Foto: Fendi Ghafar

Tidak perlu dinafikan kehebatan Exists meskipun seringkali mengadakan persembahan, itu bukanlah alasan untuk peminat setia mereka hadir ke konsert ‘Battle of Time Exists X Masdo’ yang telah berlangsung pada 10 November lalu.  Sudah pasti untaian lagu-lagu malar segar menjadi ‘santapan’ fanatikanya.  Tidak kurang hebatnya Masdo yang sentiasa tampil bergaya dalam setiap persembahan yang membariskan mereka.

Dewan Merdeka, WTCKL menjadi saksi dengan kehadiran kira-kira 2,000 penonton yang pastinya tidak jemu-jemu menonton persembahan kedua-dua kumpulan yang kini terus berlari di setiap bibir peminat samada genarasi terdahulu mahupun generasi masakini.

Diterajui oleh DENNSA dan Sensorhythm dengan sokongan Kementerian Komunikasi serta Kumpulan My Creative Ventures, konsert yang bermula pada pukul 8.00 malam itu membawa penonton mengimbau kenangan manis masa lalu.

Bertemakan ‘Battle of Time,’ konsert tersebut menyatukan dua kugiran besar, Exists dan Masdo dalam satu pentas yang menampilkan perjalanan muzik dari era yang berbeza.

Nama Exists, yang sudah mencipta nama sejak tiga dekad lalu menjadi inspirasi kepada pemuzik-pemuzik generasi baharu seperti Masdo, yang membawa aliran pop 60-an ke arus perdana.

“Sebagai kugiran baharu, kami sangat teruja dapat berkongsi pentas bersama Exists. Lagu-lagu mereka sering menjadi siulan kami semasa remaja,” kata Masdo, yang dianggotai oleh Ali, Mawi, dan Putu Ceri.

Malam itu, Masdo membuka persembahan dengan 10 lagu, antaranya Bunga, Miss Flower Learns to Twist, Janji Manis, Inilah JalanNya Perih Jerih, Kechundang, Kasih & Sayang dan Dinda. Mereka menutup set mereka dengan Malam Pesta Rock & Roll dan Bercanda Di Malam Indah.

Menurut Putu Ceri, “Walaupun genre muzik kami berbeza, tema ‘Battle of Time’ cukup signifikan bagi Masdo yang membawa aliran pop 60-an.”

Selama lebih 30 tahun Exists aktif dalam perjuangan muzik mereka, ia masih diterajui oleh semua anggota yang sama sejak awal penubuhan pada 1991 sehingga sekarang.  Meskipun tanpa kehadiran Mamat, Exists masih anggap pelantun lagu ‘Untukmu Ibu’ masih lagi anggota Exists.

“Inilah muka yang masih sama dalam Exists iaitu Along selaku pemain gitar, Musa (bass), Ujang (dram), Ajai (keyboard) dan saya sebagai penyanyi. Termasuk juga seorang lagi anggota Exists, Mamat.

“Kita terus doakan yang baik-baik untuk Mamat dan Insya Allah, semoga pada masa akan datang Exists akan dapat bersama Mamat semula dalam persembahan kami yang lain,” ujarnya usai memperkenalkan anggota Exists.

Exists, membuka segmen mereka dengan lagu Seperti Dulu, diikuti Mama Tolonglah Percaya, Julia, Tak Tahu Harga Cinta, dan Janji Padamu.

Ezad, Ujang, Musa, Along, dan Ajai turut membawakan medley Pancut Ke Siling dan Oh! Benih Adam sebelum menyambung dengan lagu-lagu popular seperti Langkah Seiringan, Bunga, Jesnita, Percayakan Siti, Rahsia Pohon Cemara, Mengintai Dari Tirai Kamar dan Alasanmu.

Sekalung tahniah wajar diberikan kepada Ezad, meskipun kesihatannya tidak begitu baik namun beliau kelihatan ‘tenang’ dan sedaya upaya memberikan persembahan terbaik buat peminat.

Malam yang penuh emosi dan nostalgia itu diakhiri dengan Exists dan Masdo tampil bersama untuk lagu penutup Pujaanku, Kapal Terbang Kertas, dan Pesta Muda Mudi.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page