September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Konsert 40 Tahun Tanda Terima Kasih Saya – Anuar Zain

2 min read
Spread the love

Empat dekad membina legasi dalam industri muzik tempatan, Anuar Zain tampil dengan pakej vokal lunak, senyum manis aura dan pesona yang kuat.

Justeru itu bersempena meraikan 40 tahun pembabitan dalam industri muzik tanah air, penyanyi Anuar Zain bakal tampil dalam Anuar Zain 40th Anniversary Concert yang dijadual berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 28 Oktober depan.

Bakal menghibur peminat dengan lebih 20 lagu, Shahrul Anuar Zain atau lebih  mesra disapa dengan Anuar berkata, tujuan penganjuran konsert kali ini adalah tanda terima kasihnya kepada peminat atas sokongan yang tidak pernah luntur sepanjang empat dekad beliau bergelar anak seni.

“Sudah tentu saya mensasarkan kehadiran peminat penuh pada konsert kali ini. Tujuan utamanya untuk menghibur peminat dengan semua lagu yang dipersembahkan dan sudah pasti lagu-lagu yang dekat dengan peminat”, ujarnya.

“Bagaimanapun, buat masa ini, saya masih belum memikirkan mengenai penyanyi jemputan kerana masih ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan dari segi persiapan konsert.

“Boleh dikatakan, konsert kali ini hanya ‘straight forward’ sahaja kerana saya tidak ada sebarang gimik atau elemen kejutan yang ingin ditampilkan,” ujarnya pada sidang media Anuar Zain 40th Anniversary Concert di JioSpace, Petaling Jaya pada 5 Julai lalu.

Mengulas pemilihan lokasi konsert, Anuar menjelaskan bahawa Stadium Malawati yang terletak di Shah Alam menyimpan pelbagai nostalgia manis buat dirinya, malah mempunyai kelengkapan sesuai untuk penganjuran konsert.

“Saya sudah mengadakan konsert di beberapa lokasi di Kuala Lumpur, tetapi Stadium Malawati memberi saya nostalgia yang sangat manis.  Bagi saya, lokasi itu sangat praktikal kerana ia berbentuk empat segi dan sangat senang bekerja. Malah pencahayaan dan sistem bunyian yang dimiliki sangat baik.

“Antara sebab lain saya memilih lokasi ini kerana Shah Alam adalah tempat saya tinggal dan membesar,” tambahnya.

Pada masa sama, Anuar turut menjelaskan, beberapa visual yang memaparkan perjalanannya sepanjang 40 tahun sebagai anak seni.

“Serba sedikit visual mengenai perjalanan sepanjang 40 tahun ada, tetapi konsert kali ini lebih kepada menghibur peminat yang hadir, cuma penceritaan tetap ada.  Sebelum ini, saya pernah tampil dengan konsep sedemikian, jadi kali ini mungkin akan ada perubahan sedikit,” katanya.

Sementara itu, Sean Ng dari JioBuddy berjanji, konsert AZ40 akan menjadi satu lagi lakaran sejarah yang penting buat Anuar dalam perjalanan karier seninya yang sentiasa mendapat sokongan positif dari semua pihak.

“Anuar Zain 40th Anniversary Concert bukan hanya sebuah konsert biasa tetapi sebagai sebuah biografi untuk meraikan perjalanan seni seorang penyanyi hebat yang panjang bersama semua peminat dan penggemar muzik beliau.

“Konsert ini juga amat penting untuk kami selaku penganjur bagi menyokong industri muzik tempatan,dan memberi yang terbaik kepada penonton mengikut kepakaran kami,” ujar Sean.

Untuk pembeli tiket pada hari pertama jualan itu, peminat bertuah akan berpeluang untuk memenangi telefon bimbit jenama FreeYond.

Tiket Anuar Zain 40th Anniversary Concert yang dibawakan JioBuddy itu mula dijual pada 12 Julai ini, jam 10 pagi di pautan www.jiotix.asia dengan harga RM188 (Gold), RM388 (Platinum), RM488 (Diamond), RM888 (VIP 2) dan RM1188 (VIP 1).


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page