Komuniti Kulai Barbarian Erat Ukhwah Dalam Program Ride N Camp CNY 2026 Di Sedili
Oleh : Jorn Seth Metalwarpage
Program Ride N Camp – Kulai Barbarian & Friend Camping sempena cuti Tahun Baharu Cina 2026 berjaya menghimpunkan komuniti camper dari sekitar Kulai dan Kota Tinggi dalam satu pertemuan santai yang berlangsung di KingFisher Campsite, Sedili di sini, pada 17 hingga 18 Februari lalu.
Trip selama dua hari satu malam itu disertai empat keluarga bersama empat peserta individu membabitkan penggunaan dua buah van, tiga MPV, sebuah kereta serta tiga motosikal, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian gaya perkhemahan seperti moto camper, car camper dan campervan dalam kalangan peserta.
Suasana tapak perkhemahan di pesisir pantai Sedili yang menghadap laut terbuka memberikan ketenangan tersendiri kepada peserta dengan bunyi ombak sebagai latar semula jadi sepanjang program berlangsung.



Walaupun keadaan cuaca agak mendung pada waktu siang sebelum hujan serta angin kuat melanda pada malam hari, perjalanan program tetap berjalan lancar. Unggun api yang dirancang sejak petang tidak dapat dinyalakan akibat faktor cuaca, namun sesi santai dalam kalangan peserta tetap diteruskan di bawah canopy dan di ruang khemah masing-masing.
Dalam masa sama, lokasi campsite yang strategik turut dimanfaatkan oleh peserta untuk melakukan aktiviti memancing di pesisir pantai, sekali gus menambahkan lagi variasi aktiviti santai sepanjang program berlangsung.
Menurut penganjur, program seumpama ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti, malah menjadi platform untuk berkongsi pengalaman serta pengetahuan berkaitan teknik perkhemahan termasuk aspek penyediaan setup khemah, susun atur campervan serta pengurusan logistik dan keselamatan sepanjang aktiviti berkhemah dijalankan.



Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua komuniti yang hadir termasuk Komuniti Camper Sungai Sayong, Der “Camp 69”, Komuniti Camper Kota Tinggi, Komuniti Campercar Senai serta komuniti Kulai Barbarian atas sokongan yang diberikan.
Ucapan terima kasih turut ditujukan kepada pemilik KingFisher Campsite, Tn. Ali Mazat Bin Saleh bersama seluruh krew atas layanan mesra serta kemudahan yang disediakan sepanjang program berlangsung termasuk tapak perkhemahan yang luas, fasiliti tandas yang bersih dan pencahayaan menyeluruh di kawasan lot pada waktu malam.

Mengakhiri program, komuniti camper yang terlibat tidak menolak kemungkinan untuk menganjurkan program Iftar Camping bersempena Ramadan akan datang sebagai kesinambungan aktiviti komuniti pada masa hadapan.
