September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Kolaborasi UK’s dan Slam Bakal Imbau Nostalgia

3 min read
Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Konsert Muzikal UK’SLAM gelar diberi, tahun hadapan tanggal 3 Februari, memilih Stadium Malawati sebagai lokasi, cepat-cepat lock date dan set reminder dalam diari, sebab dengan UK’s dan Slam kita ada temujanji. Dijangka 3 jam akan berdurasi, puluhan lagu-lagu hits bakal tersaji, maka jangan tergigit jari dan rugi sendiri, sebab tak mungkin akan berulang kembali. Sebuah produksi dari Bombay Legend Worldwide berkolaborasi dengan AMIRUKS Entertainment dengan sokongan Johan Enterprise, Mewah Event Management, Mr Helibro dan JBR Bundle sebagai rakan strategik.

Stadium Malawati Shah Alam dengan kapasiti 7,000 orang dijangka bakal menghimpun para peminat UK’s dan Slam dari seluruh pelusuk negara untuk sama-sama menikmati satu keajaiban muzikal gabungan 2 kumpulan yang pernah bikin sensasi suatu ketika dahulu. Masih relevan dan sentiasa dinanti-nantikan oleh peminat setia, konsert berskala besar ini pastinya menjadi saksi tercipta sejarah dalam industri seni kerana kombinasi muzikal UK’s dan Slam adalah buat pertama kali. Kedua-duanya mempunyai aura tarikan dan kekuatan tersendiri dari pelbagai aspek yang akan disusun bagi persembahan segmen solo masing-masing. Pertaruhan gaya pementasan ‘trademark’ yang dikuasai kedua kumpulan akan disulami dengan susunan gabungan audio visual secara muzikal.

Ekspektasi berkumandangnya lagu-lagu hits yang menjadi ‘all-time favorite’ pada segmen duet adalah sesuatu yang pasti. Akan dimulai dengan set akustik dan kemudiannya diikuti dengan medley dan persembahan penuh, jangkakan kuasa energi dan stamina luarbiasa dari UK’s dan Slam, untuk anda sama-sama sing along pada rangkaian lagu-lagu popular UK’s seperti “Kekasihku Di Menara”, “Sebak”, “Pahit Akan Manis Jua Akhirnya”, “Kembali Mencari”, “Siapa Yang Rampas Cintaku”, “Tergamak Kau”, lagu wajib “Disana Menanti Disini Menunggu” dan pastinya banyak lagi tak dapat disenaraikan semua disini. Sementara variasi lagu-lagu terbaik dari Slam seperti “Nurkasih”, “Kembali Merindu”, “Jika Kau Rasa Getarnya”, “Tak Mungkin Berpaling”, “Rindiani”, “Mentari Muncul Lagi”, lagu wajib “Gerimis Mengundang” dan senarai berpanjangan yang akan mengisi malam istimewa tersebut nanti.

“Tidak akan ada kehadiran artis lain pada konsert ini, hanya UK’s dan Slam serta penampilan istimewa gabungan duet di antara keduanya yang bakal menggegar malam di Shah Alam 3 Februari nanti.” ujar penganjur konsert, Zamberi Shaari atau lebih dikenali dengan nama Bombay yang ditemui pada petang 13 Disember ketika sidang media bagi Konsert Muzikal ini, bertempat di The Garage KL.

“Kami sedia maklum konsert ini adalah back to back seminggu sahaja jaraknya dengan konsert Sweet Charity, namun kami yakin setiap band memiliki kekuatan masing-masing dan tidak risau tentang hal ini. Kita tunggu dan lihat sahaja nanti.”

Merahsiakan elemen surprise yang bakal dibuat dan telah direncanakan, Amir UK’s yang berbesar hati diberi peluang berganding bahu dengan Bombay Legend Worldwide menyeru para peminatnya dari Malaysia dan juga dari Indonesia yang bermaustautin di sini untuk ramai-ramai datang menyaksikan konsert yang julung kali diadakan ini. “Kita nak ajak peminat sama-sama menghayati alunan lagu dan muzik kami sambil kembali bernostalgia. Lamaran untuk bergabung ini sememangnya satu kelainan yang tidak diduga dan sukar dilepaskan, sementelah lagi kami memang berkawan baik selama ini.” tambah Amir, menaruh harapan tinggi bagi kejayaan konsert muzikal ini.

UK’s diterajui oleh Amir sebagai vokalis, Rozdenil diposisi gitar, Saleh menggalas bass, Amiruddin di bahagian dram, penampilan istimewa Mus Satira mengendalikan gitar serta merupakan sessionist asal dalam rakaman album UK’s. Manakala Slam kekal mantap bersama line-up asal iaitu Zamani yang wajib ada bersama Slam kerana vokal ‘signature’ nya itu, seandainya Zamani tiada tentunya peminat Slam akan berdukacita. Diperkuatkan lagi dengan Shah diposisi gitar utama, Eddie bermain kibod, Lili setia bersama bass nya dan Othman di bahagian dram.

Nilai sentimental dari segi garapan, susunan dan sentuhan penceritaan melalui elemen visual dan muzikal akan digabungkan bagi menghasilkan sesuatu yang fenomena. Alunan vokal lemak merdu dan mendayu-dayu dari Amir dan Zamani adalah kekuatan utama yang bakal menarik sebahagian besar peminat untuk membeli tiket, selain dari pemilihan lagu yang bertepatan untuk melahirkan sebuah konsert yang bukan sahaja penuh nostalgia tetapi juga malar segar dengan memori dan kenangan buat peminat mereka.

“Kami faham kebanyakan peminat kami sudah dipanjat usia, oleh itu kesemua tiket adalah dalam bentuk seating arrangement. Lagi pula lagu-lagu kami semuanya berentak balada slow dan mellow, tak perlu berdiri untuk hangguk kepala, jadi semua dapat menikmati malam dengan santai dan selesa.” Meskipun berhibur sambil duduk, nantikan magis yang bakal terhasil pada gabungan duet 2 nama besar di arena rock negara ini.

Jika kau rasa getarnya, jangan biarkan di sana menanti disini menunggu, kembali lah mencari jalan nurkasih untuk sama-sama berada di Shah Alam pada malam 3 Februari sebelum mentari muncul lagi. Jangan tunggu lagi, layari www.ilassotickets.com.my sekarang. Semoga pahit akan manis jua akhirnya.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page