“Kisah Penuh Kecewa” – Kolaborasi Emosi Ernie Zakri & Anggi Marito

Dua bintang vokal serumpun, Ernie Zakri dari Malaysia dan Anggi Marito dari Indonesia, bersatu dalam satu kolaborasi yang cukup menyentuh perasaan menerusi lagu balada terbaharu berjudul “Kisah Penuh Kecewa”.
Buat julung kalinya, lagu ini dipersembahkan secara langsung semasa konsert Aura: Ernie Zakri Live in Concert yang berlangsung di The Theatre at Mediacorp, Singapura pada 31 Mei 2025. Penampilan istimewa Anggi Marito di pentas tersebut menandakan permulaan indah kolaborasi lintas negara ini.
Sebagai kesinambungan kepada pelancaran lagu ini, Anggi turut hadir ke Kuala Lumpur untuk sesi promosi serta makan malam eksklusif bersama peminat yang diadakan di restoran ikonik Hameediyah, Bukit Bintang, pada 4 Jun 2025. Dalam suasana yang mesra dan penuh keakraban, peminat berpeluang menikmati sajian fine dining sambil berinteraksi secara dekat bersama dua penyanyi kesayangan mereka. Hameediyah turut diberikan penghargaan atas layanan terbaik dan lokasi yang sempurna untuk acara ini.
Menggabungkan kekuatan vokal dan kejujuran emosi kedua-dua penyanyi, “Kisah Penuh Kecewa” membawa pendengar menyelami kisah cinta yang tidak kesampaian bukan kerana tiada rasa, tetapi kerana salah seorang telah memilih untuk berundur. Namun begitu, mesej utama lagu ini ialah ketabahan dan kekuatan untuk meneruskan kehidupan meskipun hati dilukai.

“Lagu ini sedih, tapi pada masa sama ia juga membawa kekuatan,” kata Ernie, pemenang kategori Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL 39). “Ia tentang hubungan yang terhenti bukan sebab cinta sudah tiada, tapi kerana salah seorang tidak mahu meneruskan. Saya harap pendengar yang pernah melalui pengalaman serupa akan temui kekuatan melalui lagu ini.”
Ernie turut menekankan bahawa kolaborasi ini membuktikan muzik tiada sempadan. “Walaupun kami berasal dari dua negara berbeza, saya dan Anggi bersatu dengan satu suara untuk menyampaikan rasa yang ikhlas. Muzik mampu menyentuh hati sesiapa sahaja, di mana sahaja.”

Bagi Anggi Marito, naib juara ketiga Indonesian Idol musim ke-11, kolaborasi ini merupakan satu penghormatan besar. “Saya memang peminat Ernie sejak dulu. Suaranya sangat indah dan penuh perasaan. Bekerjasama dengannya satu pengalaman yang sangat berharga. Dia bukan sahaja berbakat besar, tapi juga sangat profesional dan menyenangkan,” ujar Anggi penuh teruja.
Dengan susunan lirik yang terus terang dan mudah difahami, “Kisah Penuh Kecewa” membawa naratif yang dekat di hati ramai. Lagu ini boleh didengari di semua platform penstriman digital sejak 23 Mei 2025, manakala video muzik rasmi turut dilancarkan serentak memvisualkan perjalanan emosi dua insan dalam kisah cinta yang berakhir dengan penuh ketabahan.