November 22, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Kisah Ketabahan Suami dan Isteri Dinukilkan Menerusi Drama “Ternyata Sebuah Bahagia”

Spread the love

Kisah ’Konflik Kekeluargaan’ Lakonan Che Puan Sarimah, Zamarul Hisham, Datin Elvina Bermula 23 September Ini di Astro

Astro mempersembahkan drama terbaru ‘Ternyata Sebuah Bahagia’ sebuah karya terbitan Suhan Movies yang memaparkan kisah seorang lelaki yang hampir dijemput ajal, diberi peluang kedua untuk kembali ke pangkal jalan dan kini berhadapan cabaran dalam membimbing keluarganya. Drama siri ini bakal bersiaran di slot Tiara, pada 23 September, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang menerusi saluran Astro Ria (Saluran 104) dan strim menerusi platform On Demand, Astro GO dan sooka.

‘Ternyata Sebuah Bahagia’ adalah sebuah kisah rumahtangga yang sarat dengan pesanan, tentang cabaran seorang lelaki dalam membimbing keluarganya yang sudah tersasar jauh dari landasan agama. Elemen cinta tiga segi dan konflik kekeluargaan menjadi tunjang utama dalam naskhah ini. Turut menghiasi karya ini ialah runut rasmi berjudul “Perisai Cinta” nyanyian Liza Hanim.

Penceritaan penuh emosi menerusi 40 episod ini adalah hasil sentuhan bersama pengarah Nur Ain Shariff & Ejump Mohd. Drama ini menampilkan barisan pelakon handalan seperti Che Puan Sarimah Ibrahim sebagai Datin Jeanice, Zamarul Hisham sebagai Datuk Zamani, dan juga Datin Elvina Mohd sebagai Rhea. Turut dibantu Dewi Remaja Myra Afrina dan Lorenzo Irmann.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari, “Ternyata Sebuah Bahagia menampilkan barisan pelakon hebat, dan penulisan skrip yang mantap, yang mampu untuk memberi pengajaran dan hiburan pada penonton.

Kisah rumah tangga yang digarap baik oleh pengarah beserta konflik yang mencengkam semestinya meruntun jiwa penonton. Kami mendengar permintaan penonton yang ingin melihat gandingan bersama Che Puan Sarimah Ibrahim dan Zamarul Hisham, ditambah dengan penglibatan Datin Elvina Mohamed yang disukai penonton Tiara melalui drama panjang sebelum ini.”

Pengarah ‘Ternyata Sebuah Bahagia’, Nur Ain Shariff & Ejump Mohd, berkata “Kita sedia maklum apa sahaja perkara yang terjadi dalam masyarakat kemudian diterjemahkan semula dalam bentuk penceritaan drama pastinya akan menarik minat para penonton.

Saya berharap penonton menikmati naskah ini sebaiknya dan akan lebih menghargai keluarga mereka selepas menonton drama ini. Selain dari mesej-mesej berunsur keagaamaan, kekuatan watak seorang ayah dalam memulihkan kembali keluarga yang sudah berantakan menjadi kekuatan drama ini.”

‘Ternyata Sebuah Bahagia’ mengisarkan Datuk Zamani yang hampir menemui ajal selepas diserang Angin Ahmar ketika di kelab malam. Susulan dari peristiwa tersebut, keluarganya berpecah belah. Setelah dirinya kembali sembuh, Datuk Zamani mula mengubah gaya hidupnya dan banyak mendalami ilmu agama. Perubahan drastik Datuk Zamani memberi kesan kepada isterinya Jeanice yang tidak pernah diberikan pendedahan sejak mula memeluk agama Islam.

Namun Jeanice pada mulai sedar mula menuruti kehendak agama. Rhea pula telah dipinang oleh Jeanice untuk menghalang suaminya dari berkahwin dengan perempuan lain. Namun Rhea mempunyai niat tersembunyi apabila dia bersama bekas kekasihnya cuba untuk menjatuhkan perniagaan dan juga keluarga Datuk Zamani.

Siri drama terbaharu Astro ‘Ternyata Sebuah Bahagia’ akan mula bersiaran pada 23 September setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 Petang di Astro Ria (Saluran 104), On Demand, strim di Astro GO dan juga sooka.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page