March 3, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Kimbab Meriahkan Syawal Dengan Drama Raya

Spread the love

Trio lawak popular Kimbab kembali memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini menerusi single terbaharu berjudul Drama Raya, sebuah lagu raya santai yang mengangkat kisah realiti pagi Syawal yang dekat dengan kehidupan masyarakat masa kini.

Kumpulan yang dianggotai Zulin Aziz, Nasz Sally dan Maryam DurianKimchi itu menampilkan konsep segar dan menghiburkan menerusi lagu berkenaan, yang diinspirasikan daripada pelbagai situasi serta ‘drama’ yang sering berlaku setiap kali menjelang pagi raya.

Menurut Zulin yang juga pencipta lagu dan lirik, idea penghasilan lagu tersebut tercetus daripada pengalaman harian masyarakat yang cukup dekat dengan suasana sambutan Aidilfitri masa kini.

“Lagu Drama Raya ini terinspirasi daripada apa yang selalu sangat kita semua hadap terutama pagi raya. Dari kuih tak menjadi, baju tak muat sampailah macam-macam situasi yang memang berlaku setiap tahun. Saya pasti semua orang pernah melalui ‘Drama Raya’ mereka sendiri, sebab itu kena tengok muzik video lagu ini yang memang penuh dengan kisah yang relatable,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengangkat konsep easy listening dengan melodi yang catchy, lagu itu turut menampilkan kelainan apabila Maryam membawakan bahagian rap dalam Bahasa Melayu. Elemen tersebut menjadi antara tarikan utama apabila beliau, yang berasal dari Korea Selatan, mencabar diri menyampaikan lirik rap dengan sebutan yang tepat.

Zulin berkata Maryam menunjukkan komitmen tinggi sepanjang proses rakaman walaupun berdepan cabaran dari segi sebutan rap.

Screenshot

“Walaupun Bahasa Melayu dia dah sangat baik, cabaran sebenar adalah dari segi sebutan rap dan dia berlatih berkali-kali. Alhamdulillah proses rakaman sangat mudah sebab semua sangat komited dan saling membantu,” katanya.

Keserasian trio berkenaan bukan sesuatu yang asing buat peminat apabila hubungan mereka yang terjalin sejak program realiti Muzikal Lawak Superstar terus kukuh sehingga kini.

“Keserasian kami memang dah macam isi dengan kuku. Sejak habis Muzikal Lawak Superstar, kami sentiasa bersama dan keserasian itu sangat membantu sepanjang penghasilan lagu ini,” katanya lagi.

Selain elemen komedi dan hiburan, Drama Raya turut menyelitkan isu perbezaan generasi antara golongan milenial dan Gen-Z secara santai, mencerminkan perubahan budaya raya mengikut peredaran zaman tanpa meninggalkan nilai tradisi.

Zulin berharap lagu berkenaan mampu menjadi pengubat rindu buat para peminat setia mereka yang dikenali sebagai Kimbabers.

“Harapan saya semoga Drama Raya mendapat sambutan dan menjadi lagu yang menceriakan raya peminat kami. Kalau ramai yang suka, mungkin tahun depan ada sambungannya. Insya-Allah lagu ini juga bakal menjadi lagu tema untuk telefilem raya Kimbab berjudul Andartu Cancel Raya yang akan ditayangkan di Astro,” ujarnya berseloroh.

Dengan gabungan humor, realiti kehidupan serta sentuhan rentak moden, Drama Raya dijangka menjadi antara lagu pilihan baharu yang bakal menceriakan sambutan Aidilfitri tahun ini.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page