September 8, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Keunikan Muzik Malaysia & Antarabangsa di Rainforest World Music Festival 2023 (RWMF2023)

2 min read
Spread the love

Hari pertama Rainforest World Music Festival (RWMF) edisi tahun ini atau RWMF 2023 yang berlangsung semalam menyaksikan pengunjung pesta tersebut dihidangkan dengan persembahan oleh artis-artis seperti Zee Avi, Rastak, dan juga artis lain dari seluruh Malaysia seperti At Adau, Orang Orang Drum Theatre, Buluh Bekocak, Aseana Percussion Unit dan Nadir.

Bintang muzik antarabangsa yang berasal dari Sarawak Zee Avi telah dipilih sebagai headliner hari pertama RWMF 2023 manakala Rastak adalah satu-satunya artis antarabangsa yang tampil membuat persembahan pada hari pertama RWMF 2023.

Malam pertama RWMF 2023 dimulakan dengan persembahan Orang Orang Drum Theatre dari Semenanjung Malaysia diikuti oleh Buloh Bekocak, Aseana Percussion Unit, Nadir, Rastak, At Adau dan terakhir, Zee Avi sebagai headliner.

Suasana pentas Kampung Budaya Sarawak sewaktu berlangsungnya persembahan muzik artis-artis pada hari pertama RWMF 2023 semalam – kredit foto: Facebook RWMF.

Menurut Zee Avi, sebelum malam pertama RWMF 2023, kali terakhir beliau membuat persembahan pada pesta itu adalah pada tahun 2012 dan sebelum pertunjukannya semalam, beliau juga tidak pernah menyangka bahawa dia akan kembali bermain pesta itu lagi.

Walau bagaimanapun, beliau berkata bahawa beliau terharu dengan jemputan untuk beraksi di RWMF 2023 dan beliau telah membuat persiapan yang khas untuk RWMF 2023. Beliau juga berkata beliau mempunyai kumpulan yang hebat yang terdiri daripada pemuzik berbakat untuk persembahan beliau di RWMF 2023 kali ini.

Selain daripada menikmati persembahan dari artis-artis berbakat dari seluruh Malaysia, para penonton juga diberi pengalaman merasai penampilan oleh artis antarabangsa pada malam itu apabila Rastak tampil untuk membuat persembahan di atas pentas sejurus sebelum At Adau dan Zee Avi masing-masing membuat persembahan mereka.

Rastak adalah sebuah kumpulan yang berasal dari negara Iran yang berusaha mengumpul, merakam dan mentafsir muzik rakyat Iran untuk penonton global. Mereka sangat terkenal di negara asal mereka dan juga antara artis paling terkenal dalam dunia muzik rakyat kontemporari.

Gambar mereka yang terlibat dalam usaha untuk mencipta rekod Malaysia Book of Records untuk rekod ‘Pemain perkusi yang paling ramai bermain dalam sebuah pesta muzik’ di perkarangan Kampung Budaya Sarawak semalam. – kredit foto: Facebook RWMF.

Sementara itu pada waktu siang sebelum persembahan para artis muzik pada waktu malam, terdapat percubaan untuk memasuki Malaysia Book of Records oleh sekumpulan individu dimana ramai individu yang bersemangat berkumpul di perkarangan tempat berlangsungnya RWMF tahun ini, iaitu Kampung Budaya Sarawak, untuk mengambil bahagian dalam acara memecahkan sebuah rekod Malaysia Book of Records untuk rekod ‘Pemain perkusi yang paling ramai dalam sebuah pesta muzik’.

Acara itu diketuai oleh fasilitator bulatan dram Shameer Bakhda, Syed Ibrahim dan beberapa yang lain sambil menjana rentak berdenyut yang penuh bertenaga, menawan hati penonton mereka yang hadir untuk melihat usaha mereka itu untuk selama 45 minit.

RWMF anjuran tahun ini atau RWMF 2023 sedang berlangsung di Kampung Budaya Sarawak, Kuching dari 23 Jun sehingga 25 Jun. Ianya adalah merupakan sebuah pesta muzik tahunan yang diadakan di Kuching, Sarawak semenjak tahun 1998 lagi. Ciri-ciri utama pesta tersebut adalah ianya memaparkan muzik dan seni yang menengahkan unsur-unsur tradisional atau kontemporari gabungan tradisional dan moden.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page