September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Kesinambungan Usaha Murni Karyawan Menerusi Edisi Ke-4 Golf Amal Selebriti

3 min read
Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

“Tergendala sekian lama akibat pandemik, Kejohanan Golf Amal Selebriti akan kembali lagi. Edisi ke-4 ini akan diadakan pada petang Ahad 21 Januari di Kelab Golf Kota Seriemas, Nilai diikuti dengan Majlis Makan Malam dan Penyampaian Hadiah Gala di lokasi yang sama.” demikian dimaklumkan oleh Datuk Freddie Fernandez selaku Presiden Karyawan pada sidang media petang 5 Januari bertempat di Hadramawt Kitchen, Ampang.

Turut berganding bahu duduk selari semeja bersama Datuk Freddie Fernandez pada petang itu ialah Datuk Zunaidah Idris (Kofika), Datuk Malek Redzuan (penyanyi veteran), Datuk Dollah Salleh (lagenda bolasepak negara), Deen Maidin (pelakon drama Gerak Khas), Mawi (penyanyi popular) dan beberapa penaja utama yang lain. Antara penaja yang berbesar hati turut terlibat dalam acara ini ialah Hadramawt Kitchen, Panca Abadi Automobil, Kofika, Al Najwa Productions, BS Nutrition dan Kota Seriemas Golf and Country Club, MST Golf, Komuniti Golfer Melayu Malaysia.

Inisiatif positif ini lahirnya dari Persatuan Karyawan yang sentiasa memandang ke hadapan dan sentiasa bersedia apabila diperlukan oleh warga seni yang memerlukan bantuan dari Karyawan. Dibuka kepada 120 peserta termasuk orang awam, tajaan bermula dari serendah RM1,000 untuk penaja lubang sehingga RM50,000 untuk tajaan utama. Bagi mereka yang ingin menyertai sebagai pemain, dikenakan bayaran sebanyak hanya RM350 seorang.

“Buat masa ini, kami telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM20,000 dan menyasarkan target akan mencapai sekurang-kurangnya RM50,000. Saya yakin dan percaya target itu akan dapat dicapai, sekiranya lebih ianya adalah bonus dan saya dahulukan dengan ucapan terima kasih.” Dengan wajah penuh harapan, sentiasa menguntum senyum, Datuk Freddie tidak putus-putus merakamkan ucapan terima kasih buat semua yang memberi sokongan.

Menjanjikan variasi agenda yang menyeronokkan, diserikan bersama dengan penyertaan para selebriti yang telah menyatakan persetujuan untuk memeriahkan acara, penaja-penaja korporat dan dermawan budiman untuk sama-sama turun padang bermain golf demi usaha murni membantu warga seni yang memerlukan. Pelbagai hadiah menarik menanti para peserta yang berupa barangan elektronik sehinggalah baucar golf dan peralatan manakala bagi mereka yang tidak begitu bertuah dalam permainan, akan terdapat banyak hadiah cabutan bertuah turut disediakan.

Antara selebriti tanahair yang dijangka akan mengambil bahagian ialah Datuk Hattan, Datuk Yasmin Yusoff, Datuk Hans Isaac, Datuk Dollah Salleh, Sharnaaz, Rahim Sepahtu, Ajak Shiro dan ramai lagi. “Datuk Nancy Foo ada menyatakan minat untuk turut serta tetapi mengalami kecederaan di bahu, menyekat beliau dari bersukan tetapi akan tetap memberikan sokongan moral. Begitu juga dengan Shuib yang menyatakan persetujuan akan turun padang bersama anaknya, Uwais Alqarni. Baru berusia 12 tahun tetapi handicap 5, hebat tak?” ujar Datuk Freddie dengan reaksi bangga. “Saya percaya Uwais akan menjadi pelapis sukan golf yang berjaya suatu hari nanti.”

Berita kehilangan ramai rakan-rakan selebriti baru-baru ini tentunya begitu menyentuh hati pihak Karyawan. Tidak pernah terlepas pandang, Karyawan baru-baru ini telah menghulurkan bantuan kepada beberapa aartis terkenal yang berhadapan dengan kesusahan, tiada job dan mengalami masalah kesihatan seperti Sheqal, Isma Aliff, Hasnol serta beberapa lagi yang telah meninggal dunia. Antaranya Allahyarham Rohana Jalil, Datuk M. Daud Kilau, Ibnor Riza, Adai, Hamdan Senario dan pemain dram jazz terkenal Malaysia, Mendiang Lewis Pragasam – hanya menyebut sebilangan dari mereka.

“Kami di Karyawan komited mengumpul dana dengan terus giat melakukan pelbagai usaha bagi membantu golongan artis yang sakit dan ditimpa kesusahan. Oleh sebab itu Edisi ke-4 Golf Amal Selebriti ini disambung dan diteruskan semula. Gabungan selebriti popular tanahair dan penggiat sukan dalam pertandingan Golf adalah idea yang mendapat sambutan baik setakat ini.”

Dengan adanya Tabung Penggiat Seni yang diwujudkan oleh Karyawan, lebih dari 35 orang artis veteran telah dibantu sepanjang tahun lalu. “Usaha seperti ini sangat kami perlu untuk terus memberi bantuan kepada yang memerlukan. Begitu banyak jasa dan sumbangan mereka kepada warisan budaya negara, menghiburkan pelbagai lapisan masyarakat sejak sekian lama, saya menyeru agar ramai pihak yang akan menyokong usaha murni ini.”

Untuk makluman lebih terperinci tentang Golf Amal Selebriti ini dan juga pendaftaran, boleh menghubungi Azhar di talian 016-3344022. Pembayaran boleh dibuat kepada Persatuan Karyawan Malaysia (Akaun Public Bank: 3108024130) dan bagi yang memerlukan status pengecualian cukai, Karyawan telah membuat perjanjian dengan Persatuan Bencana Alam Negeri Kedah (PBank) dimana penderma hendaklah membuat pembayaran ke akaun PBank (Akaun UOB Bank: 1743043575) dan menghantar salinan slip pembayaran kepada Karyawan untuk menerima pengecualian cukai bagi sumbangan yang telah dibuat.

Selamat maju jaya diucapkan buat Karyawan dan Golf Selebriti Amal. Jom ramai-ramai kita main golf pada 21 Januari nanti.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page