September 8, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Kemuncak Sambutan Ulang Tahun Ke 18 Bandaraya Petaling Jaya dan Perasmian

2 min read
Spread the love

‘Petaling Jaya International Folklore Festival 2025’

20 Jun merupakan tarikh yang amat bermakna kepada seluruh warga bandaraya Petaling Jaya kerana pada 18 tahun yang lalu pada 20 Jun 2006, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah dinaik taraf statusnya daripada Majlis Perbandaran kepada Majlis Bandaraya.

Menelusuri garis masa selama 18 tahun ini, Petaling Jaya telah mengalami pembangunan dan perubahan pesat seiring dengan perkembangan teknologi.

Tahun ini, “Petaling Jaya Bandar Paling Bahagia” diangkat menjadi tema untuk Sambutan Ulang Bandaraya Petaling Jaya Ke-18. Untuk makluman, Majlis Bandaraya Petaling Jaya telah menerima Anugerah Bandar Paling Bahagia 2024 sempena Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia (Happiness Index) Peringkat Kebangsaan yang bertemakan “Bahagia Bersama Malaysia MADANI”.

MBPJ komited dalam mempertingkatkan usaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan berusaha mencetuskan dan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk kesejahteraan warga bandar raya Petaling Jaya.

Oleh itu, bagi menghargai warga Petaling Jaya dan sempena sambutan ulang tahun bandaraya, sebanyak 37 aktiviti dan program dilaksanakan sepanjang bulan Jun 2024 bagi mengeratkan hubungan di antara MBPJ dengan warga Petaling Jaya. Selain itu, objektif perlaksanan aktiviti ini adalah untuk menggalakkan penyertaan dari semua peringkat komuniti.

Kemuncak sambutan Ulang Tahun Ke-18 Bandaraya Petaling akan diadakan pada 29 Jun (Sabtu) pukul 8 malam dengan Majlis Perasmian Ulang Tahun Petaling Jaya 2024 dan Promosi “Petaling Jaya International Folklore Festival 2025” di Laman MBPJ, Jalan Yong Shook Lin, Petaling Jaya.

Pertandingan perarakan merupakan salah satu pengisian acara kemuncak Sambutan Hari Ulang Tahun Bandaraya Petaling Jaya Ke-18. Dalam perarakan itu, sebanyak dua kategori akan dipertandingkan iaitu kategori Majlis Perwakilan Peduduk dan kategori terbuka yang melibatkan penglibatan agensi-agensi kerajaan, badan korporat dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Hampir 400 orang peserta akan menyertai perarakan dengan jumlah keseluruhan 13 penyertaan untuk merebut tempat pertama yang menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 berserta sijil dan plak. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000 dan RM1,000 beserta sijil dan plak.

Acara kemuncak ini akan diserikan lagi dengan persembahan kebudayaan dan nyanyian oleh artis tanah air seperti Fahimi, Victoria Ng, Santesh, Black Mentor, Aisha Retno dan pertunjukan bunga api.

MBPJ mensasarkan untuk menjadikan Petaling Jaya sebagai sebuah bandaraya berdaya tahan yang berkebolehan menguruskan kemampanannya bagi mendepani gangguan dan kejutan terhadap alam sekitar, komuniti dan ekonomi.

Selaras dengan matlamat tersebut, pembangunan mampan untuk satu tempoh jangka masa panjang disediakan MBPJ iaitu “Petaling Jaya Pintar, Mampan dan Berdaya tahan 2030 (Petaling Jaya Smart, Sustainable & Resilient 2030 – PJSSR)”.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page