‘Kemaafan Dendam Yang Terindah’ Ubati Luka Ifa Raziah dan Roslan Shah
Penyanyi dan usahawan Ifa Raziah serta pengacara asal Singapura iaitu Roslan Shah sepakat memilih jalan damai berhubung isu persengketaan mereka yang sudah berlarutan hampir tujuh tahun lamanya.
Bersaksikan tetamu yang hadir pada sidang media Kemaafan Dendam Yang Terindahyang telah berlangsung pada 23 Disember di St. Giles Boulevard Hotel, Mid Valley, Kuala Lumpur, Ifa dan Roslan kembali menjernihkan hubungan persahabatan mereka dengan melupakan kisah lalu.
Meskipun sudah berbaik pada sebuah festival di Singapura baru-baru ini, menurut Ifa, dia dan Roslan memilih untuk membuat sidang media di Malaysia bagi menjelaskan situasi salah faham mereka buat peminat-peminat di sini yang masih tertanya-tanya.
“Perselisihan faham saya dan Roslan bermula di Malaysia pada awal Januari 2018, hampir tujuh tahun isu kami ini berlarutan. Saya sangat bersyukur kepada Allah kerana telah meleraikan Ego Roslan dan saya dan hasilnya silaturahim kembali utuh InsyaAllah”, ujar Ifa Raziah.
“Sebelum ini, di Singapura kebanyakan peminat di sana sudah jelas dengan situasi kami, jadi untuk peminat di Malaysia, saya dan Roslan sepakat untuk lakukan sidang media bagi menjelaskan perkara sebenar di antara kami berdua.
“Semoga dengan penjelasan ini membuatkan kedua-dua peminat kami di Malaysia dan Singapura mampu tersenyum kembali melihat gelagat kami yang sentiasa tidak putus-putus usik mengusik bagi menghiburkan peminat-peminat kami walaupun di mana mereka berada.
“Saya ucapkan ribuan terima kasih juga kepada mereka yang sentiasa tidak putus-putus mendoakan agar kami berdua kembali berbaik,” katanya.
Bercerita lanjut, Ifa memberitahu dia bersyukur sudah kembali berbaik dengan Roslan dan Ifa percaya Roslan pun begitu juga memandangkan mereka sudah lalui pelbagai kisah pahit manis bersama dalam cabaran bergelar anak seni dan usahawan yang berjaya.
Malah hubungan persahabatan yang sudah lama dibina mereka juga sudah dianggap seperti sebuah keluarga.
“Saya rasa bersyukur sangat dapat kembali berbaik dengan Roslan selepas sekian lama. “Banyak kisah susah senang kami lalui bersama untuk kecapi kejayaan pada hari ini. Saya dan Roslan pun sudah lama bersahabat sehinggakan saya sudah anggap dia seperti ahli keluarga sendiri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ifa berharap isu persengketaan dia dan Roslan dijadikan iktibar serta teladan buat mereka di luar sana yang mengalami perkara sama.
“Saya harap kisah perselisihan faham kami ini dapat dijadikan contoh atau inspirasi. “Jika ada masalah dengan sahabat, cubalah cari jalan untuk berdamai. Sesungguhnya ia perkara lebih baik dan positif berbanding menyimpan perasaan dendam yang akan merugikan diri sendiri,” katanya.
Sementara itu, Ifa meluahkan rasa teruja apabila festival anjurannya iaitu Star Vendors KL Mega Raya Fest 2025 bakal mencatatkan sejarah baharu. Festival yang bertemakan Nostalgia Raya itu akan berlangsung di KLBEC KL BASE Exhibiton Centre, Kuala Lumpur pada 20 hingga 24 Mac 2025.
Malah acara itu akan dicatatkan dalam Asia Book Of Records sebagai festival raya terbesar dan terpanjang pernah diadakan.
Kini, sedang berlakunya hari terbuka untuk melawat kawasan tapak perniagaan bagi mereka yang mahu mendaftar menjadi vendor festival berkenaan.
Mereka yang berminat boleh dapatkan harga promo Early Bird bagi booth indoor bermula RM3,999 (Intermediate), Corner RM4,499 (Corner) dan RM 9,999 (VIP). Manakala harga promo Early Bird booth outdoor pula berharga RM2,699 (Corner), dan RM2,399 (Intermediate).
Harga Early Bird ini hanya ditawarkan sehingga 31 Januari 2025. Untuk maklumat lanjut boleh hubungi nombor 018-3722977.