October 1, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Spread the love

Universal Music Malaysia (UMM), peneraju hiburan berasaskan muzik negara, bersama label rakan strategiknya, Faithful Music, terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju industri muzik tempatan apabila merangkul lebih 10 anugerah pada Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24), yang sering dianggap sebagai “Grammy” versi Malaysia.

Penyanyi Ernie Zakri mendahului senarai dengan tiga kemenangan utama. Lagu Masing-Masing nyanyiannya bersama Ade Govinda diumumkan sebagai Kolaborasi Tempatan Terbaik dengan Komposer dan Artis Antarabangsa, selain meraih Lagu Paling Banyak Distrim. Manakala lagu Aura turut melonjak apabila menerima anugerah Lagu Rakaman Terbaik hasil nukilan John Jeeves.

Ernie meluahkan rasa syukur atas kemenangan itu dan menyifatkannya sebagai bukti potensi muzik tempatan menembusi pasaran serantau. “Kemenangan ini bukan sahaja untuk saya, tetapi seluruh pasukan kreatif di sebalik album Aura dan lagu Masing-Masing. Terima kasih kepada Universal Music Malaysia, RIM & AIM24 serta semua peminat Ernienators yang sentiasa menyokong,” katanya.

Dalam kategori lain, artis dan rakan kerjasama UMM turut cemerlang. Ismail Izzani memenangi Rekaan Kulit Album/Lagu Terbaik menerusi Iman hasil karya Irfan Ramos, manakala Dayang Nurfaizah meraih Album Terbaik menerusi Belagu II yang diterbitkan Aubrey Suwito dan diedarkan Universal Music. Album tersebut turut menerima Dana Kandungan Digital bernilai RM200,000 daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures, menandakan kerjasama signifikan antara Dayang dan Universal.

Majlis AIM24 turut mengangkat legenda muzik tanah air, Biduanita Negara Dato’ Sri Siti Nurhaliza, dengan penganugerahan tertinggi Sri Wirama sebagai mengiktiraf 30 tahun sumbangannya kepada industri muzik tempatan. Beliau juga kekal sebagai rakan kerjasama UMM melalui labelnya sendiri, SN Legacy.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, menegaskan kemenangan besar itu sebagai bukti komitmen UMM. “Kejayaan ini memperlihatkan dedikasi kami sebagai label nombor satu dunia untuk terus bekerjasama dengan bakat tempatan, membantu mereka bersinar dan mengangkat produk muzik Malaysia ke pentas antarabangsa,” katanya.

Selain anugerah, persembahan menarik turut menghiasi pentas AIM24 dengan pembukaan oleh kumpulan DOLLA dan artis Def Jam Thailand, Tobii, diikuti kolaborasi Ernie Zakri bersama Anggi Marito dan Ade Govinda dari Indonesia.

Faithful Music turut tidak ketinggalan apabila pengasasnya, Faizal Tahir, mencipta kejayaan besar dengan empat kemenangan: Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik menerusi Campak Bintang bersama Dato’ Dr M. Nasir; Lagu Nasyid Terbaik untuk Biar Satu Dunia Tahu bersama Mirwana; Lagu Perpaduan Terbaik menerusi Bendera; serta anugerah tontonan TikTok tertinggi untuk Santai.

Berkongsi pandangannya, Faizal berkata muzik baginya adalah medium untuk menyampaikan mesej bermakna. “Apa yang penting ialah mesej itu sampai ke hati pendengar. Saya berharap kejayaan ini memberi inspirasi kepada generasi pencipta muzik tempatan. Kreativiti tiada batasan – cipta dengan yakin dan berjiwa,” ujarnya.

AIM24 kali ini turut mencatat sejarah penting buat bakat baharu seperti Hanis Rafi, Iqie Hugh, Glowrush, Fahimi dan Firdaus Rahmat apabila kemenangan pertama mereka membuka laluan ke arah masa depan lebih gemilang buat generasi baharu pemuzik Malaysia.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page