October 1, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Kejohanan MMA Antarabangsa ULA SUPER 8 2025 Tampil Dengan Misi Sosial untuk Golongan Terpinggir

Spread the love

Pelakon terkenal tanah air, Dato’ Aaron Aziz, kini mengalihkan fokus daripada dunia lakonan kepada usaha membina perubahan melalui platform seni bela diri campuran (MMA), apabila melancarkan ULA SUPER 8 MMA CHAMPIONSHIP 2025, sebuah kejohanan yang bukan sahaja mengetengahkan pertarungan bertaraf antarabangsa tetapi juga memikul misi sosial yang mendalam.

Kejohanan yang dijadual bermula pada 3 Ogos ini di Shah Alam bakal menghimpunkan lapan petarung terbaik dari Malaysia dan negara luar termasuk Dagestan, Afghanistan, United Kingdom, Brunei dan Thailand. Namun di sebalik aksi yang bakal dipamerkan di gelanggang, apa yang menjadikan kejohanan ini luar biasa ialah pendekatannya yang inklusif terhadap komuniti terutamanya mereka yang memerlukan peluang kedua dalam hidup.

“Ramai dari kalangan kita yang terpaksa keluar negara untuk dikenali. Saya nak ubah perkara itu. Kita bawa negara luar datang ke sini, dan dalam masa yang sama, beri peluang untuk mereka dilihat bukan hanya sebagai atlet, tetapi juga pelakon aksi dan individu berbakat,” ujar beliau ketika ditemui media sewaktu pelancaran ULA SUPER 8 MMA CHAMPIONSHIP 2025 di Star Avanue Lifestyle Mall pada 2 Ogos.

Menurut beliau, kejohanan ini terbuka bukan hanya untuk atlet profesional, malah turut memberi ruang kepada golongan belia, bekas banduan dan individu yang pernah tersasar dalam hidup untuk bangkit dan membina kerjaya baharu menerusi disiplin seni tempur dan pentas hiburan.

“Sebelum ini, saya ada tanya kepada mereka samada mereka mahu meneruskan karier sebagai athlete  sukan atau lebih berminat untuk menjadi pelakon aksi lagak ngeri.  Mereka menjawab, jika ada peluang Why Not.  InshaAllah saya akan pimpin mereka jika mereka berminat untuk masuk ke layar perak”, katanya.

Format pertandingan akan berlangsung dalam tiga pusingan utama suku akhir pada bulan Ogos, separuh akhir pada September, dan pusingan akhir pada Oktober 2025. Setiap siri pertandingan juga akan disertai oleh lima pertarungan MMA, lima perlawanan tinju amatur, dan lapan perlawanan Muay Thai, yang dijangka memperlihatkan bakat-bakat baharu dalam arena seni bela diri tempatan.

Pemenang kejohanan bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, tali pinggang kejohanan eksklusif, dan dilantik sebagai duta rasmi ULA SUPER 8 MMA. Naib juara dan finalis turut menerima hadiah wang tunai, manakala pemenang perlawanan undercard akan menerima RM200 setiap seorang.

Penaja rasmi kejohanan, GGR, akan menyumbangkan sebuah motosikal elektrik kepada pemenang utama, manakala sebuah lagi akan diberikan kepada penonton bertuah menerusi cabutan semasa acara berlangsung.

Dalam usaha memperkukuh mesej sosial yang dibawa, kejohanan ini turut menyokong kempen kesedaran buli dan kesihatan mental melalui kerjasama dengan Persatuan Kesedaran & Sokongan Penyakit Mental (MIASA). Kempen bertemakan “Silence Is Not Weakness. We Hear Your Silence” itu memberi fokus kepada cabaran yang dihadapi oleh belia dalam menangani tekanan mental dan persekitaran toksik, termasuk kes buli.

“Ini bukan tentang menang saja. Ini tentang peluang kedua, untuk buktikan yang kekuatan boleh digunakan untuk membuat kebaikan. Sama ada mereka jadi juara, pelakon aksi atau mentor. Yang penting, mereka diberi ruang untuk buktikan diri mereka sendiri,” kata Dato’ Aaron mengakhiri kenyataannya.

Kejohanan ini akan distrim menerusi platform digital oleh rakan rasmi Life Telco, termasuk rakaman penuh perlawanan, vlog belakang tabir serta sorotan media sosial di YouTube, TikTok dan Instagram bagi membolehkan peminat mengikuti setiap detik perjuangan para peserta.

ULA SUPER 8 MMA CHAMPIONSHIP 2025 bukan sekadar pentas pertarungan, tetapi satu gerakan untuk membina semula kehidupan dan membentuk masa depan yang lebih baik bagi mereka yang dahagakan peluang kedua.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page