September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Keisya Levronka Sukses Tawan Kuala Lumpur

3 min read
Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Gadis genit berinjak usia 20 tahun ini begitu bertuah diberi peluang mengadakan konsert solo sulungnya di Malaysia. Penyanyi kelahiran Malang, Jawa Timur ini mulai dikesan bakat besarnya melalui penglibatan dalam Indonesian Idol musim ke-10 pada tahun 2019. Terbuai Pilu di pilih sebagai tajuk konsert sebagai simbolik perjalanan karier gadis bernama Keisya Levronka yang dikatakan amat sukar, penuh cabaran dan bersimpang-siur. Pada malam 28 Oktober yang lalu menyaksikan ruangan Zepp Kuala Lumpur dipenuhi majoriti anak-anak muda sebayanya yang teruja dan tidak sabar menanti kemunculan beliau di atas pentas.

Kehadiran Aisha Retno sebagai artis jemputan bagi slot opening act ternyata pilihan yang bijak. Pintar berinteraksi dengan hadirin dalam pelbagai dialek, penampilan beliau tidak dilihat sebagai pelengkap acara malahan menghiasi setiap detik malam yang berlalu. Memilih beberapa lagu-lagu cover yang hits juga adalah tepat dan menghiburkan. “Tak Segampang Itu” memperdengarkan lontaran vokal bertenaga Aisha Retno, membuat hadirin berasa kagum.

Seakan sudah menjadi trend artis-artis dari negara seberang memulai konsert dengan persembahan visual disulami tatacahaya gemilang. Begitu juga hal nya dengan Keisya, memaparkan gabungan visual ‘wayang kulit’ yang direka-khas menceritakan liku-liku kehidupan dari anak kecil sehingga terkini. Persembahan karya penuh emosi, syahdu dan sentimental ini menjadi pembukaan bagi lagu “Hidup Tanpamu” yang menampilkan seorang anak kecil menari sambil memegang boneka. Turut sama disajikan ialah “Tak Pantas Terluka”, “Jadi Kekasihku Saja”, “Better On My Own” dan “Tergesa”.

Seringkali memberitahu berasa sangat gugup dan gementar menjelang konsert pertama di Malaysia, Keisya dilihat kerapkali menghilang ke belakang pentas untuk menukar pakaian silih-berganti. Mungkin itu cara beliau untuk menyembunyikan rasa gemuruh. Namun terdapat juga terlalu banyak selingan muzik instrumental dan tarian ballad yang sedikit sebanyak menimbulkan rasa bosan menunggu. Seharusnya kalau boleh Keisya belajar untuk memadatkan malam dengan susunan lagu-lagu beliau termasuk lah lagu-lagu cover, memandangkan tidak cukup hanya sekadar 8 lagu. Tidak perlu juga tukar 1 lagu 1 baju. Adalah lebih baik Keisya mewujudkan lebih banyak momentum melalui nyanyian dari berbual-bual kosong. Jelas ketara masih banyak yang perlu diperbaiki untuk konsert akan datang.

Bagaimanapun, ribuan peminat Keisya tetap terpukau ketika nada “Lagu Untuk Hari Ini” memecah malam. Tidak sia-sia memperkemaskan diri dengan belajar kelas vokal sebelum datang ke sini, vokal Keisya terdengar cemerlang. Hadirin terbawa-bawa suasana galau, mellow, tenang dan nyanyi bersama. Tak hanya bernyanyi, Keisya juga sempat curhat di atas panggung mengenai perjalanan seni nya yang disifatkan sebagai sukar dan tidak mudah.

Ketika “Tak Ingin Usai” akhirnya dilantunkan, Keisya menangis terharu dengan interaksi dan reaksi peminat yang sememangnya menunggu lagu popular itu. Mereka sing-along dan sporting menyalakan flashlight untuk menciptakan suasana malam yang syahdu. Melodi dan lirik lagu “Tak Ingin Usai”  itu sudah tentunya menyentuh emosi yang bercampur-baur dalam setiap jiwa yang hadir. Sambil mengesat airmatanya, Keisya mengekspresikan rasa terima kasih dan berharap untuk datang lagi ke Malaysia. Mengakhiri tirai konsert malam 28 Oktober dengan lagu “Mengejar Matahari” sebuah lagi lagu slow yang menyentuh hati.

Sukses menghiburkan dan menawan kota Kuala Lumpur, sekalung tahniah wajar diucapkan. Konsert yang berlangsung 2 jam setengah itu menjadi sejarah baru dalam lipatan perjalanan karier seorang Keisya Levronka. Usia masih terlalu muda, perjalanan masih sangat jauh dan panjang, teruskan berenang di dalam industri muzik dan tetap semangat ya!


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page