March 2, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Kat Roshan Lancar EP Kedua: Lima Lagu Balada Hasil Sentuhan Chossy Pratama

Spread the love

Penyanyi muda berbakat besar, Kat Roshan, bakal melancarkan album EP keduanya pada 25 Julai 2025, menampilkan lima lagu balada ciptaan komposer ternama Indonesia, Chossy Pratama. Album mini bertema “perjalanan emosi” ini menggabungkan pengalaman seni Kat sejak debut pada 2019.

Kat, atau nama penuhnya Katrina Cheng Roshan, mula meraih perhatian selepas melancarkan lagu sulung “Rasa” pada usia 15 tahun. Penyanyi berdarah campuran Melayu (bapa) dan Cina (ibu) ini kini dikenali menerusi lagu-lagu popular seperti “Ku Percaya” dan “Cinta Putih”, yang dilancarkan pada 2024.

EP ini merupakan penghargaan Kat terhadap Chossy, individu yang banyak mencorak perjalanan awal kariernya.

“EP ini adalah cara saya memberi penghormatan kepada insan yang memberi saya lagu pertama untuk debut sebagai artis rakaman iaitu lagu ‘Rasa’ pada 2019. EP ini menampilkan versi baharu ‘Rasa’ bersama dua lagu baharu, ‘Ada Apa Gerangan’ dan ‘Cinta Lama Belum Kelar’, serta dua lagu yang sudah dilancarkan pada 2024 iaitu ‘Ku Percaya’ dan ‘Cinta Putih’,” kata Kat.

Kat turut mengenang pengalaman awal ketika bekerjasama dengan komposer tersebut.

“Ketika saya merakam lagu ‘Rasa’ pada usia 15 tahun, saya pernah dimarahi kerana kurang latihan dan menangis di pangkuan ibu. Namun kini, Pak Chossy selalu bergurau bahawa saya pula yang memberi arahan kepadanya,” katanya tersenyum.

Kesemua lima lagu dalam EP ini dirakamkan antara 2019 hingga 2024 di Kuala Lumpur, dengan Chossy terbang dari Dili, Indonesia bagi setiap sesi rakaman. Kat mengakui cabaran utama adalah menguasai bahasa Melayu dan Indonesia kerana perbezaan dialek.

“Saya harap pendengar memaafkan kekurangan saya dalam sebutan, namun saya benar-benar mencuba sedaya upaya,” ujarnya.

Single utama, “Rasa”, akan dipromosikan sebagai lagu fokus untuk EP ini.

“Lagu ini sangat dekat di hati saya dan menjadi simbol perjalanan saya sebagai penyanyi. Ia bukan sekadar sebuah lagu, tetapi cerminan jiwa dan identiti seni saya,” jelasnya.

Pelancaran EP kedua ini turut menjadi tanda penutup fasa muzik balada Kat Roshan, yang selama ini menjadi identiti utama beliau.

“Selepas ini, saya ingin menghasilkan lebih banyak lagu rancak yang sesuai dengan usia saya. Peralihan daripada balada kepada irama yang lebih bertenaga mencerminkan perubahan diri saya sebagai seorang artis, selain memenuhi cita rasa pendengar masa kini,” ujarnya.

Kat melancarkan EP pertamanya, “My Demons”, pada Mei 2021, yang mengangkat tema emosi peribadi serta pengalaman semasa pandemik Covid-19.
Pada Mac 2024, Kat bersama Meer Nash mewakili Malaysia di program antarabangsa Sound of the South China Sea di Sanya, Hainan, China. Persembahan mereka menerusi lagu tradisional “Wau Bulan” berjaya memukau lebih 2 juta penonton di China dan menarik perhatian ramai di tanah air.

EP kedua Kat Roshan ini akan tersedia di semua platform digital pada 25 Julai 2025.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page