November 23, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Karier Seni Dato’ M.Nasir Belum Ternoktah

Spread the love

Maestro yang sudah tidak perlu di pertikaikan pencapaian beliau di persada seni, Dato’ M.Nasir yang ‘memperhambakan’ dirinya dalam bidang tersebut selama 45 tahun pastinya mampu mendabik dada malah sudah boleh ‘meneropong’ aktiviti seni generasi masakini.  Namun itu bukanlah sesuatu yang beliau inginkan.

Mohamad Nasir Mohamed tidak meletakkan tarikh luput atau tanda noktah kepada kerjaya seninya yang sudah berlangsung sejak 45 tahun lalu. Beliau menjelaskannya sewaktu sidang media Konsert Dato’ M.N45ir Cipta anjuran Icon Entertainment yang akan berlangsung pada 10 Ogos ini di Axiata Arena Bukit Jalil. 

“Selagi saya rasa saya boleh berkarya dan itu sebahagian satu pekerjaan. Bila bersara, rasa susah nak hidup. Saya risau juga. Tapi, saya suka dengan bidang ini, bidang mencipta lagu. Kita buat daripada benda itu tak ada, kemudian ada ‘bentuk’ dan kemudian orang suka. Itu satu nikmat yang orang lain tak dapat”, ujar beliau. 

Beliau juga mengakui kekok untuk bersaing dengan generasi muda apabila mempertaruhkan lagu-lagunya di pentas pertandingan. Bagaimanapun aktiviti tersebut membuatkannya sentiasa mencari jalan untuk menyesuaikan diri dengan peredaran zaman. 

“Sekarang, kalau saya pergi ke pertandingan atau apa, saya dah jadi orang yang paling tua sekali dalam kalangan peserta. Yang bertanding, budak-budak lagi. Tapi, muzik yang saya buat itu, muzik orang muda. Jadi, saya ada sedikit rasa macam mana nak sesuaikan,” katanya.

Sementara itu Iman Tang, selaku penganjur menyifatkan bahawa pemilihan judul CIPTA sebagai nama yang melambangkan keseluruhan seorang figura seni bernama M.Nasir.

“Seantero Nusantara tahu, seluruh karyawan seni sedar dan belajar daripada banyak karya yang telah diciptakan oleh M Nasir. Beliau adalah ‘otak’, ‘arkitek’, maestro, sifu dan semua yang berkaitan dengan penciptaan karya seni yang berkualiti tinggi”, ujarnya.

“Malah setiap karya yang dicipta oleh beliau jarang sekali tidak meledak saat dipasarkan daripada karya yang dibikin untuk penyanyi solo lelaki dan wanita juga kugiran rock mahupun mengusung genre pop dan balada”

Justeru itu, Icon Entertainment sedar ini bukan pertama kali penonton atau peminat menyaksikan persembahan sifu M.Nasir sepanjang lebih empat dekad pembabitan beliau dalam industri seni Nusantara.

“Tapi menerusi inilah pentas yang akan menyajikan pelbagai ciptaan dan kreativiti daripada seorang karyawan seni ditumpahkan lalu menjadi persembahan visual dan audio yang tidak akan pernah dilupakan.

“Saya pasti “DATO’ M.N45IR CIPTA”, beliau akan mempersembahkan karya-karya yang telah dicipta dalam sebuah bentuk persembahan yang belum pernah disaksikan sebelum ini,” ujar Iman Tang dari Icon Entertainment.

Peminat yang ingin menyaksikan konsert yang sarat dengan elemen kejutan boleh mendapatkan tiket bermula pada 27hb Mei – Tiket Online akan mulai di jual pada pukul 11.00am di platform:www.ticket2u.com.my

Harga tiket bermula dengan RM 238 (AWAN NANO), RM338 (SEJATI), RM458 (FENOMENA), RM488 (CINTA KRISTAL), RM528 (MUSTIKA) dan RM588 (APOKALIPS).


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page