March 28, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

KANGMIN Lancar ‘Free Falling’, Debut Solo Sarat Emosi & Pencarian Diri

Spread the love

Anggota kumpulan K-pop VERIVERY, KANGMIN, mencipta sejarah tersendiri apabila tampil dengan album single solo pertamanya berjudul Free Falling, sekali gus menjadi ahli pertama kumpulan itu melangkah ke pentas solo.

Lebih daripada sekadar debut, Free Falling hadir sebagai naskhah peribadi yang merakam perjalanan emosi KANGMIN dalam fasa peralihan daripada remaja ke alam dewasa satu tempoh yang penuh ketidakpastian dan pencarian identiti diri.

Judul Free Falling membawa simbolik mendalam, menggambarkan keadaan “jatuh bebas” tanpa arah jelas, namun tetap meneruskan perjalanan ke hadapan. Konsep ini turut dipengaruhi pengalaman KANGMIN ketika menyertai program realiti popular BOYS II PLANET pada 2025, yang membuka ruang kepada pelbagai persoalan dan emosi baharu dalam dirinya.

Menurut KANGMIN, album ini dihasilkan dengan pendekatan jujur tanpa cuba menampilkan imej sempurna.

“Saya isi album ini dengan cerita yang saya ingin kongsikan secara jujur… harap anda dapat mengenali siapa KANGMIN melalui muzik ini,” katanya.

Album ini menampilkan tiga trek yang disusun sebagai perjalanan emosi tersendiri. Lagu pembuka “Intro : small, fragile and still here” membawa nuansa lo-fi lembut dengan lirik yang ditulis bersama ketua VERIVERY, DONGHEON, yang turut menyumbang dalam komposisi.

Single utama, “Free Falling”, pula hadir dengan sentuhan R&B-pop kontemporari, mengangkat kisah hubungan cinta yang tidak stabil antara kasih dan luka dalam kitaran emosi yang berulang. Video muziknya tampil dengan gaya penceritaan simbolik dan permainan perspektif yang memberi ruang interpretasi kepada penonton.

Melengkapkan album, “in the mirror” mengetengahkan konflik dalaman seseorang yang bergelut antara keinginan untuk kekal seperti sedia ada dan keperluan menerima diri sendiri.

Sejak debut bersama VERIVERY, KANGMIN dikenali dengan aura muda, visual menarik serta persembahan bertenaga. Penyertaannya dalam BOYS II PLANET yang menyaksikan beliau mara ke pentas akhir dan menduduki tempat kesembilan turut melonjakkan popularitinya di peringkat global.

Kini, menerusi Free Falling, KANGMIN membuka lembaran baharu sebagai artis solo dan tampil dengan identiti lebih matang dan berani berkongsi sisi dirinya yang lebih jujur kepada peminat di seluruh dunia.

Top of Form

Bottom of Form


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page