September 8, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Kami Tak Kisah Kalau Ada Netizen Kecam Muzik Video Separuh Jiwa – Xpose Band

2 min read
Spread the love

Setelah berada lebih 7 tahun dalam industri muzik, kumpulan Xpose Band sebenarnya tidak kisah sekiranya ada peminat yang mengecam video muzik single terbaharu mereka, Separuh Jiwa.

Bagi kumpulan yang dianggotai tiga ahli ini, Ahmad Khairul Furhan Razali (vokalis), Mohd Rafiuddin Mohd Yunos (bass) dan Muhammad Mustaqim Mustapha Kamal (dram), tujuan mereka berkecimpung dalam gelanggang seni adalah menjual karya-karya bermutu.

Furhan ketika ditemui di tayangan media video muzik tersebut yang di adakan di Loudspeaker, Datum Jelatek pada 26 September berkata, mereka memaparkan situasi sebenar yang berlaku dalam kalangan masyarakat.

“Kami paparkan kisah kehidupan seorang penagih dadah yang dilakonkan Eppy, kisah penunggang agama yang membawa ajaran sesat lakonan saya dan kisah seorang individu pedofilia lakonan Taqim.

“Semuanya sinonim dengan kisah yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Tak kiralah, sama ada ia berlaku kepada orang lain atau diri kita sendiri, kami juga mengambil pendekatan tidak mahu ambil peduli jika ada netizen yang kecam setelah mereka menonton video muzik tersebut”, ujarnya

Kenyataan Furhan turut di sokong oleh 2 lagi anggota Xpose Band iaitu Eppy dan Taqim, malah jika ada netizen yang membuat spekulasi mahupun persepsi negatif mereka akan menerimanya dengan hati yang terbuka.

“Pengajaran yang ingin kami sampaikan menerusi lagu Separuh Jiwa dan video muzik ini adalah jangan ikut benda-benda yang salah. Kalau penonton memberi persepsi berbeza, kami serahkan kepada mereka sendiri kerana kami sudah sajikan satu mesej yang jelas,” tambahnya.

“Saya dan Taqim bakal menimang anak. Jadi, kami tak mahu generasi masa hadapan, diduga dengan kesesatan sebegini. Inilah satu cara dan medium untuk kami sampaikan nasihat kepada mereka yang menonton,” katanya.

Video muzik Separuh Jiwa telah dilancarkan di platfom YouTube jam 9 malam ini menampilkan kisah-kisah kontroversi mengenai pedofilia yang melakukan hubungan songsang dengan remaja bawah umur.

Disoal genre muzik yang diperjuangkan, Eppy berkata, mereka tidak mahu terikat dengan satu genre kerana mahu membuktikan semua jenis rock boleh dibawa.

“Asasnya adalah rock tetapi semua cabang rock kami boleh seperti slow rock, modern rock, pop rock dan ballad rock. Bagi  kami,  Xpose mempunyai identiti tersendiri tak tidak meniru mana-mana kumpulan”, tambahnya.

Untuk rekod, single pertama nyanyian Xpose berjudul Sandiwara pernah mencetuskan fenomena pada 2017, sehingga merekodkan 23 juta jumlah tontonan di YouTube sehingga sekarang.

Kumpulan yang memperjuangkan genre rock ini asalnya dianggotai lima ahli dan kini kembali bertiga. Lebih menarik, ketiga-tiga mereka mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang kejuruteraan dan Furhan kini bekerja sebagai jurutera.

Xpose yang bernaung di bawah syarikat rakaman Suria Records juga sudah mempunyai 10 single seperti Seru, Deru, Maafkan Ku, Sebelum Nafas Terhenti, Jejak dan Menanti Pasti.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page