February 20, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“Kami Mahu Kembali Menebus Kekecewaan Peminat” — Wali Band Janji Persembahan Lebih Mantap 1 Mei Ini

Spread the love

“Kami memahami perasaan peminat kami di Malaysia. Atas sebab itu, kami mahu kembali menebus kekecewaan mereka menerusi konsert solo kami sendiri.”

Itu luahan vokalis Wali Band, Faank, yang tampil menjelaskan komitmen kumpulan itu untuk kembali memberikan persembahan terbaik buat peminat tempatan menerusi penganjuran Konsert Wali Band Kembali yang bakal berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 1 Mei depan.

Selepas berdepan insiden yang mencetuskan ketidakpuasan hati penonton pada konsert terdahulu awal tahun ini, Wali Band yang turut dianggotai Apoy (gitar), Tomi (dram) dan Ovie (papan kekunci) tidak menjadikan perkara itu sebagai alasan untuk berundur, sebaliknya bangkit dengan semangat baharu untuk menebus semula kepercayaan peminat mereka di Malaysia.

Menurut Faank, apa yang berlaku sebelum ini bukan sahaja tidak mematahkan semangat mereka, malah menjadi pembakar motivasi untuk tampil dengan persembahan yang lebih mantap serta susunan repertoir yang lebih padat.

“Apa yang berlaku sebelum ini tidak mematahkan semangat kami untuk kembali beraksi di Malaysia. Malah, ia membuatkan kami lebih bersemangat untuk menghiburkan peminat.

“Kami juga bakal tampil dengan repertoir yang lebih padat dan menarik agar peminat benar-benar terhibur serta memperoleh kepuasan maksimum melalui persembahan kami nanti,” katanya.

Sementara itu, wakil penganjur daripada GIS Entertainment & Events bersama Infinity Love Creative Ventures, Mubarak Akhtar Mohd Aris berkata, penganjuran konsert ini bukan didorong soal keuntungan semata-mata, sebaliknya sebagai usaha menebus kembali kekecewaan penonton susulan Konsert RadjaWali sebelum ini.

“Apa yang kami lakukan ini adalah bukti bahawa kami benar-benar bertanggungjawab terhadap insiden yang berlaku sebelum ini dan kami komited untuk menghadirkan persembahan yang lebih tersusun, lancar serta berkualiti.

“Bukan soal keuntungan yang menjadi keutamaan dalam konsert ini tetapi ia lebih kepada kepuasan penonton. Insya-Allah, kami janjikan persembahan konsert yang terbaik kali ini,” katanya.

Tambahnya lagi, aspek teknikal termasuk sistem bunyi, pencahayaan serta susunan perjalanan acara turut diberikan perhatian khusus bagi menjamin pengalaman konsert yang lebih selesa dan menghiburkan buat semua yang hadir.

Jualan tiket Konsert Wali Band Kembali akan mula dibuka pada 16 Februari 2026 dengan harga bermula serendah RM77 hingga RM777 mengikut kategori tempat duduk yang ditawarkan. Penonton Konsert RadjaWali terdahulu turut layak menikmati diskaun sebanyak 20 peratus menerusi penggunaan kod promo tiket terdahulu bagi pembelian secara dalam talian.

Tiket boleh dibeli menerusi pautan: www.ilassotickets .com. Layari media sosial rasmi @konsertwalikembali2026 di platform TikTok dan Instagram untuk sebarang info terkini.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page