Kamal Haasan Raih Sambutan Hebat di KL, Kongsi Perkembangan Terkini Filem ‘Thug Life’ dan Hasrat Kembali ke Malaysia

Kredit Foto: PaPaDin
Ikon perfileman Tamil, Kamal Haasan, meluahkan rasa terharu atas sambutan luar biasa yang diterimanya daripada para peminat Malaysia sempena kunjungannya ke Kuala Lumpur bagi mempromosikan filem aksi epik terbaharunya, Thug Life, yang bakal menemui penonton di pawagam bermula 5 Jun 2025.
Bercakap dalam sidang media eksklusif yang diadakan di sebuah hotel terkemuka ibu negara, pelakon, pengarah dan penulis skrip tersohor itu menyifatkan filem terbaharunya sebagai “hadiah” buat peminat yang telah sekian lama menantikan gandingannya semula bersama pengarah tersohor Mani Ratnam, selepas kejayaan filem klasik Nayakan pada 1987.
“Kami bekerja keras melahirkan ‘anak’ ini, dan kini saya serahkan kepada anda,” ujar Kamal Haasan kepada media pada 31 Mei lalu.

“Sebahagian daripada filem ini menjalani penggambaran di Singapura dan Malaysia. Saya mempunyai ramai rakan di sini. Ramai yang menyokong dan menyayangi kerja seni saya di Malaysia. Saya amat menghargai kehadiran anda semua,” tambahnya lagi.
Filem Thug Life menandakan kerjasama semula Kamal dan Mani Ratnam selepas 38 tahun, yang disifatkan Kamal bukan sekadar bersifat nostalgik, malah merupakan penanda aras baharu kepada sinema moden Tamil.
“Saya sentiasa melihat sisi baharu dalam diri Mani. Beliau bukan sahaja seorang pengarah hebat, tetapi pencipta yang tidak pernah selesa berada dalam zon selesa.

“Kami belajar dari satu sama lain. Kami tidak sekadar berjalan atas laluan sama, malah berkongsi semangat. Saya suka mencabar diri, dan Mani juga begitu, jadi kami bertemu pada frekuensi yang sama,” katanya.
Naskhah Thug Life, yang ditulis bersama oleh Kamal dan Mani, mengangkat kisah dua adik-beradik berpengaruh dalam dunia jenayah dimana Sakthivel dan Manickam merasakan hidup mereka mula berubah apabila salah seorang menyelamatkan seorang kanak-kanak, lantas menimbulkan rasa curiga dan permusuhan.
Apabila Sakthivel menjadi sasaran percubaan pembunuhan, dia memilih untuk memusnahkan seluruh empayar yang pernah dibinanya. Kamal menyifatkan wataknya sebagai seorang yang “tiada apa lagi untuk dipertahankan”, menjadikannya lebih berbahaya daripada seorang yang bersenjata.
“Medan perang adalah rumahnya sekarang. Dia akan melihat pertempuran ini hingga ke akhirnya — hidup atau mati,” ujar Kamal menggambarkan intensiti wataknya.
Filem ini turut dibintangi oleh Silambarasan, Trisha Krishnan, dan Joju George, dan telah pun digelar media India sebagai “sambungan spiritual” kepada filem Nayakan.
Ketika ditanya sama ada beliau terbuka untuk menjalani penggambaran di Malaysia sekali lagi, Kamal menjawab dengan penuh keterbukaan dan penghargaan.
“Saya pernah menjalani penggambaran di sini sebelum ini. Saya telah datang ke Malaysia banyak kali, dan saya ada ramai sahabat di sini. Kita berkongsi lebih daripada sekadar budaya dan bahasa,” katanya sambil memberi bayangan kemungkinan projek akan datang dilaksanakan di sini.
Sementara itu, Datuk Muhammad Yusoff, Pengasas DMY Creation dan juga pengedar rasmi filem Thug Life di Malaysia menyifatkan bahawa filem ini bukan sekadar hiburan. la adalah suara, ia adalah perjuangan, ia adalah pantulan dunia sebenar.

DMY Creation berperanan membawa filem ini ke layar Malaysia, sementara AP International telah memperoleh hak tayangan antarabangsa, memperkukuh lagi status global Thug Life sebagai karya blockbuster yang bakal mendunia.