October 1, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Jung Yong Hwa Pukau 2,000 BOICE di Kuala Lumpur

Spread the love

Malam penuh pesona tercipta di Mega Star Arena, Kuala Lumpurpada 14 September lalu apabila Jung Yong Hwa mengadakan konsert solo pertamanya di Malaysia menerusi 2025 JUNG YONG HWA LIVE ‘Director’s Cut: Our Fine Days’ yang dianjurkan Lo-Fi Entertainment.

Lebih 2,000 peminat setia CNBLUE, dikenali sebagai BOICE, membanjiri dewan untuk menyaksikan persembahan penyanyi, pelakon dan komposer berbakat besar dari Korea Selatan itu.

Muncul segak dalam sut kemas dan berkaca mata, Yong Hwa membuka persembahan dengan gimik berjalan dari kalangan penonton menuju pentas — simbolik perjalanan 10 tahun karier solonya. Lagu “One Fine Day” dan “Your City” menjadi pembuka tirai sebelum beliau menyapa penonton dalam Bahasa Melayu: “Apa khabar sayang?”

“Cuaca di Kuala Lumpur sangat panas, tetapi saya gembira dapat berjumpa anda semua sekali lagi!” katanya sambil disambut sorakan gemuruh.

Yong Hwa yang pernah mempelajari beberapa perkataan Melayu ketika kunjungan CNBLUE tahun lalu, kali ini kerap menggunakan ungkapan seperti “Mantap”, “Janji”, “Bagus” dan “Terima Kasih”. Lebih menghiburkan apabila beliau secara spontan mempelajari frasa baharu, “Jerit semua!”, yang serta-merta membuat dewan bergema dengan sorakan.

Sesi interaksi turut bertambah meriah apabila beliau bertanyakan cadangan makanan tempatan. Apabila peminat mencadangkan durian, Yong Hwa berseloroh dalam bahasa Inggeris, “Durian all day long?” mencetuskan gelak tawa. Menariknya, beliau turut berkongsi bahawa sahabat rapatnya, pelakon Park Bo Gum, sempat hadir bertemu dengannya di belakang pentas dua jam sebelum konsert bermula.

Sepanjang persembahan lebih tiga jam, Yong Hwa bukan sekadar menyanyi dan menari, malah mempersembahkan kemahiran bermain dram. Malah, beliau dua kali kembali ke pentas untuk sesi encore, selain turun ke kawasan BOICE Zon bagi beramah mesra secara dekat dengan peminat.

Konsert berakhir penuh gemilang, meninggalkan kenangan indah buat semua yang hadir — bukti bahawa aura Jung Yong Hwa masih ampuh dalam menawan hati peminat Malaysia.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page