October 24, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Juicy Luicy Bakal Gegarkan Mega Star Arena di Ruang Inspirasi Festival 2025

Spread the love

Peminat muzik tempatan bakal disajikan dengan pengalaman konsert yang penuh emosi dan inspirasi menerusi Ruang Inspirasi Festival (RIF) 2025 yang akan berlangsung pada 17 Ogos ini di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Acara anjuran Expoindo bersama rakan penganjur tempatan, Thrive, ini menampilkan kumpulan pop alternatif terkenal dari Indonesia, Juicy Luicy, sebagai artis utama. Kumpulan itu cukup dikenali menerusi lagu-lagu hit seperti Lantas, Lampu Kuning dan Sialan yang begitu dekat di hati pendengar, khususnya golongan muda.

Menurut pihak penganjur, festival ini bukan sekadar sebuah konsert hiburan, tetapi juga medan perkongsian inspirasi yang mengetengahkan kisah-kisah di sebalik karya muzik para artis yang terlibat.

“Ruang Inspirasi Festival lahir daripada hasrat kami untuk mewujudkan ruang yang bukan hanya menghibur, tetapi turut menyentuh perasaan dan membangkitkan semangat positif dalam kalangan penonton. Juicy Luicy dipilih sebagai tumpuan utama kerana mereka antara artis yang paling digemari oleh generasi muda di Malaysia,” jelas kenyataan Expoindo.

Festival ini menjanjikan pengalaman berbeza kerana para artis akan turut berkongsi kisah peribadi dan perjalanan mereka dalam dunia muzik, menjadikannya lebih intim dan bermakna buat para penonton.

“Kami ingin mewujudkan hubungan lebih dekat antara artis dan penonton. Bukan sekadar menonton persembahan dari jauh, tetapi turut sama menyelami cerita dan inspirasi di sebalik lagu-lagu yang dipersembahkan,” kata penganjur lagi.

Menariknya, RIF 2025 akan menampilkan dua sesi persembahan dalam satu hari – pada waktu tengah hari dan malam. Butiran artis lain yang akan turut membuat persembahan akan diumumkan pada minggu hadapan.

Tiket bagi persembahan malam yang menampilkan Juicy Luicy dijual pada harga RM528 (Presale VVIP-Seated), RM328 (Presale VIP-Seated), RM258 (Presale Gold-Seated), RM158 (Presale Platinum-Standing), RM128 (Presale Silver-Seated), dan RM150 untuk Group Photo Top Up. Harga tiket bagi persembahan tengah hari akan diumumkan kelak.

Jualan tiket akan dibuka bermula 3 Julai 2025 (Khamis), jam 12.00 tengah hari menerusi aplikasi BBO Events atau laman web rasmi ri-fest.com/kualalumpur.

Expoindo turut merancang untuk membawa RIF ke bandar-bandar utama lain di seluruh negara sebagai usaha memperkukuh komuniti melalui muzik serta menjadi platform serantau yang menyatukan artis dari Malaysia dan Indonesia.

“Harapan kami agar RIF menjadi jambatan budaya yang mengeratkan hubungan dua hala antara industri hiburan Malaysia dan Indonesia, selain menyebarkan nilai positif kepada masyarakat menerusi muzik,” ujar penganjur.

Untuk maklumat terkini mengenai festival ini, orang ramai boleh mengikuti RIF di Instagram dan TikTok menerusi akaun rasmi @rifest.my.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page