JOY ‘Splash’ KL April Ini, ReVeluv Janji Gegar Zepp
Peminat K-pop tanah air bakal disajikan dengan sebuah malam penuh pesona apabila ahli kumpulan popular Korea Selatan, Red Velvet iaitu JOY akan mengadakan konsert solo menerusi 2026 JOY ASIA TOUR “JOY SPLASH” di ZEPP Kuala Lumpur pada 25 April depan, jam 8 malam.
Konsert yang dibawakan oleh Zues Event Sdn Bhd itu menjadi antara destinasi penting dalam siri jelajah Asia JOY, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan muzik solonya.
Menurut Pengarah Zues Event Sdn Bhd, Jeffery Chin, pemilihan Kuala Lumpur sebagai lokasi konsert kali ini dibuat bertepatan dengan sokongan luar biasa yang sentiasa ditunjukkan oleh peminat JOY di Malaysia.
“Masanya dirasakan cukup tepat. ReVeluv Malaysia sentiasa menunjukkan kasih sayang dan sokongan yang luar biasa, dan kami percaya Kuala Lumpur layak menjadi sebahagian daripada fasa baharu perjalanan solo JOY menerusi ‘JOY SPLASH’.
“Ia tentang mencipta malam istimewa yang menghubungkan JOY dengan peminat di sini, selain membuka peluang untuk lebih banyak penganjuran konsert K-pop menarik di Malaysia pada masa akan datang,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menjangkakan kehadiran peminat dengan tenaga luar biasa sepanjang konsert berdurasi kira-kira 120 minit itu yang bakal dipenuhi persembahan hebat, momen emosional serta segmen interaktif dan pemberian hadiah.
“Kami menjangkakan tenaga yang luar biasa, sorakan fan chant yang kuat serta limpahan kasih daripada peminat Malaysia.
“Kami berharap semua hadir dengan semangat untuk mencipta atmosfera yang positif dan memori indah bersama. Paling penting, kami mahu peminat pulang dengan rasa gembira dan bangga kerana menjadi sebahagian daripada JOY SPLASH di Kuala Lumpur,” katanya.
Konsert berkenaan turut menjanjikan pengalaman audio-visual imersif dengan produksi pentas stylish selain susunan persembahan eksklusif khas buat ReVeluv Malaysia.

Lebih menarik, pelbagai fan benefits eksklusif turut disediakan, sekali gus memberi peluang kepada peminat menikmati pengalaman lebih dekat dan istimewa bersama JOY.
Peminat boleh mendapatakan tiket yang berharga RM698 / RM598 / RM498 / RM398. Pembelian akan bermula pada 7 Mac 2026 bermula 12 tengah hari menerusi etix.my.

Setiap pembeli hanya boleh mendapatkan maksimum empat (4) tiket bagi setiap transaksi untuk setiap alamat e-mel, caj tempahan RM4 bagi setiap tiket manakala caj pemprosesan RM10 bagi setiap transaksi dan harga tiket tidak termasuk 8% SST.
