September 19, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Jom Tenangkan Fikiran di Showcase Jiwa Kacau 2024

Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Generasi galau masakini sentiasa dahagakan ‘makanan sihat’ untuk melegakan tekanan atau jiwa kacau. Oleh itu, muzik adalah salah satu solusi paling berkesan yang sangat membantu kesejahteraan hidup selain daripada pengambilan makanan penenang. Ketika fikiran berkecamuk dan kacau bilau, diri dibelenggu stress, jom kita pilih untuk tenangkan fikiran di showcase Jiwa Kacau 2024 sebagai jalan keluar.

Tahukah anda, nikmat bermuzika-loka bersama Bunkface, Hujan, Masdo dan Insomniacks mampu dan boleh ‘menyembuhkan’ kekusutan? Ucapan selamat kembali kepada band-band hebat ini dalam siri Showcase Jiwa Kacau 2024 selepas mencetuskan fenomena pada Showcase Jiwa Kacau 2023 dengan kejayaan menghimpun hampir 8,000 peminat. Justeru dengan berbesar hati MND Sport & Event Sdn Bhd selaku penganjur berkolaborasi bersama Kopi Saigon sebagai penaja utama, membawa kembali barisan kugiran yang sama di atas permintaan yang tinggi.

Namun showcase kali ini ‘level up’ dengan penampilan istimewa band dari Indonesia iaitu Nidji dan solois tempatan yang meningkat naik, Luqman Podolski. Sesuatu yang mengujakan, sensasi dan membuat hidup semakin ‘kacau bilau’, khas untuk mengubati kegelisahan, hipertensi dan depresi, pakar-pakar psikologi dari 5 band dan 1 solois ini akan memastikan adrenalin kencang setiap para jiwa kacau, sembuh dari ‘migrain dan pening kepala’ berhibur bersama nama-nama besar itu.

Direncanakan bakal berlangsung pada tanggal 22 Jun 2024 memilih Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sebagai lokasi, kehangatan showcase kali ini akan meninggalkan momen manis tersendiri.

“Malam pesta Jiwa Kacau 2024 ini kita tambah dua lagi pemuzik, sesuai dengan penganjuran kali kedua. Mana tahu tahun-tahun mendatang akan tambah tiga empat pemuzik pula.” ujar Daniel Harith dari MND Sport & Event. “Maksudnya ada enam penampilan energetik yang akan sedaya upaya meredakan kekacauan jiwa-jiwa yang bilau pada malam itu nanti. Kami bangga mengumumkan kehadiran Nidji yang menjadi satu-satunya wakil band dari Indonesia yang cukup terkenal.”

“Luqman Podolski pula buat pertama kalinya akan beraksi pada showcase 2024 ini sebagai penampilan khas.” tambahnya lagi. “Semoga Showcase Jiwa Kacau 2024 ini bukan sahaja menjadi pesta bersuka-ria semata-mata malahan penganjuran ini dilihat menjadi medan berkembang semarak sekaligus melestarikan muzik tempatan terutama buat generasi galau yang sangat-sangat memerlukan ketenangan jiwa melalui muzikaliti idola mereka.”

Didorong oleh sambutan dan apresiasi peminat terhadap pemuzik tanahair, Masdo melahirkan rasa terharu. “Kami fikir tidak mungkin ada Showcase Jiwa Kacau 2024 seandainya tiada sokongan dan kehadiran peminat yang diluar jangkaan pada tahun lalu. Jadi sebenarnya kami memang patut berterima kasih kepada peminat yang berkumpul meraikan perbezaan muzik yang ditonjolkan oleh setiap band.” ujar Masdo.

Showcase kali ini dikatakan berbeza dari segi lokasi kerana padang hoki tidak sama seperti padang bola yang menggunakan 100% rumput manakala padang hoki pula menggunakan ‘turf’. Situasi ini pasti dapat mengelakkan kejadian tidak diingini seperti yang berlaku pada konsert Coldplay yang lalu dikatakan memberi kesan buruk dan kerosakan padang selepas usai konsert.

Turut hadir pada petang sidang media pada 4 March di Star Bar by Jis KL, Star Boulevard KLCC ialah line up utama Bunkface dan Hujan meski tanpa kehadiran teraju utama iaitu Noh Hujan dan Sam Bunkface. Kelihatan sangat teruja dengan perancangan Showcase Jiwa Kacau 2024 ini, pelbagai elemen surprise akan dilaksanakan oleh setiap band bagi mewujudkan kelainan dari acara yang lepas demi menarik peminat untuk kembali meronggeng bersama. Luqman Podolski juga komited menghadirkan diri dan mendendangkan sebuah lagu berjudul “Bahaya” untuk semua yang hadir. Daya tarikan generasi baru dipertanggungjawabkan di bahu dan pengaruh bawaan Luqman Podolski.

Harapan tinggi menggunung diletakkan terhadap showcase yang dijadualkan berlangsung selama 3 jam setengah ini, bakal menyaksikan penyatuan enam persembahan yang membuat jiwa anda kacau teruk. Muzik tidak pernah gagal menyatu-padukan. Semoga ‘playlist’ yang akan dihidangkan oleh Bunkface, Hujan, Masdo, Insomniacks, Nidji dan Luqman Podolski semakin menyembuhkan setiap jiwa untuk bersatu dalam lagu, memperkukuhkan  industri muzik di Malaysia dengan rangka inisiatif yang positif.

Pembelian tiket boleh dilakukan menerusi www.klticketing.com jangan sampai terlepas tawaran harga tiket yang menarik dengan harga RM148 (Rockzone), RM98 (General Admission), RM228 (VIP 1 & 2), RM188 (CAT 1), RM138 (CAT 2), RM68 (BLUE ZONE), RM358 (MEET & GREET). Dapatkan sekarang segera!


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page