Joey Daud Perkenal “Wamwamsam”, Satira Muzikal Penuh Wawasan dan Makna

Selepas mencuri perhatian penonton menerusi watak ikonik Daud M dalam filem terakhir arahan Allahyarham Mamat Khalid, Joey Daud pelakon, pelawak dan penyanyi berkarisma kini kembali menggempur industri muzik tanah air dengan single terbaharunya bertajuk “Wamwamsam”, yang dilancarkan secara rasmi pada 20 Mei 2025.
“Wamwamsam” bukan sekadar sebuah lagu biasa, ia merupakan karya komedi pop rock eksperimental yang penuh warna, jenaka dan makna mendalam. Lagu ini mengangkat tema wawasan dan pentingnya pendidikan sebagai akar kepada pembentukan diri dan masa depan. Di sebalik irama yang rancak dan lirik penuh sindiran sinikal yang menggelitik, tersembunyi mesej kuat untuk semua lapisan masyarakat, dari pelajar sekolah rendah hingga ke pembuat dasar negara.
Seperti “Sirih Pulang Ke Gagang”, Joey Daud merupakan artis rakaman pertama yang ditandatangani oleh Dato’ M. Nasir pada tahun 1994 di bawah label Luncai Emas Sdn Bhd. Justeru, apabila diajak kolaborasi pada tahun 2025, Luncai Emas tidak teragak-agak untuk merealisasikan projek ini.
Lagu hasil ilham Joey Daud ini diperkayakan lagi dengan kolaborasi bersama barisan komposer muda di bawah naungan Luncai Emas, Ilham Nasir dan Hidayat Nasir yang membawa nafas baharu dengan sentuhan pop dan susunan muzik yang berani serta unik.

“Lagu ini saya hasilkan dari pengalaman hidup, pemerhatian sosial dan kenangan lama. Wawasan bukan sekadar kata — ia adalah panduan hidup. Wamwamsam mungkin kedengaran lucu, tapi maknanya mendalam,” ujar Joey ketika ditemui media.
Menambahkan lagi kekuatan Wamwamsam sebagai karya yang inklusif dan bersifat kebangsaan, lagu ini turut menampilkan segmen rap khas oleh A.D, anggota kumpulan hip hop kreatif dari Sabah, Isohbatos. Sentuhan A.D membawa elemen segar dan unik, dengan gaya rap berbahasa Melayu Borneo yang mencerminkan semangat rakyat Malaysia dari timur.
“Bukan lagu untuk satu kawasan saja tetapi ini lagu seluruh Malaysia,” ujar Joey. “Bila A.D masuk studio dan bawa gaya dia yang tersendiri, kami tahu lagu ni akan jadi sesuatu yang luar biasa.”

Menambah keterujaan pelancaran ini, video muzik rasmi Wamwamsam dihasilkan dengan konsep sinematik ala filem pendek, sekaligus menjadi teaser eksklusif kepada filem yang sedang dibangunkan: Daud M, filem susulan berdasarkan watak popular yang dibawa Joey sebelum ini.
Apa yang lebih mengujakan, video muzik dan filem ini diarahkan oleh Amen Khalid, anak kepada Allahyarham Mamat Khalid, yang mewarisi sentuhan magis ayahandanya dalam menyampaikan kisah rakyat dengan cara yang lucu, sinikal dan penuh nilai.
Video muzik Wamwamsam membawa penonton menyusuri kisah seorang pelajar kampung yang berwawasan tinggi, berjuang menentang masyarakat yang statik dan kekangan sistemik demi menuntut ilmu dan perubahan. Diwarnai dengan visual dramatik, suasana sekolah retro, guru-guru eksentrik dan sindiran sosial yang tajam, ia pasti mengundang tawa, air mata dan perenungan.
Wamwamsam lebih dari sekadar hiburan tetapi ia adalah panggilan kepada generasi muda untuk bangkit dengan ilmu dan wawasan. Lagu ini menyingkap kepincangan masyarakat dengan cara yang jenaka tetapi menyedarkan, satu pendekatan seni yang jarang ditemukan hari ini.
Joey Daud membuktikan dirinya bukan hanya pelawak atau pelakon, tetapi seorang seniman sejati yang berani meneroka sempadan genre dan medium. Dengan pengaruh budaya tempatan, nostalgia sekolah, dan mesej yang relevan, Wamwamsam dijangka menjadi fenomena tersendiri.
Untuk rekod, Joey Daud atau nama sebenarnya Zulkifli Daud, memulakan karier seninya sebagai penyanyi pada awal 1990-an dan merupakan artis pertama yang ditandatangani oleh Dato’ M. Nasir di bawah label Luncai Emas. Selain itu, beliau juga dikenali sebagai pelawak dan pelakon versatil yang telah membintangi pelbagai filem dan drama tempatan.
Selain daripada bidang seni, Joey juga aktif dalam bidang seni visual dan pernah menghasilkan lukisan mural yang menarik perhatian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar. Baginda berkenan dengan hasil seni Joey dan menempah sebanyak 15 lukisan mural untuk dipamerkan di sekitar Muar, Johor