Joe Flizzow Dinobat Ikon Belia Johor (Penggiat Seni) di Anugerah Sukan Johor ke-31

Penyanyi rap dan usahawan terkenal, Joe Flizzow, dinobatkan sebagai Ikon Belia Johor (Penggiat Seni) sempena Anugerah Sukan Johor ke-31 (ASJ31) yang berlangsung baru-baru ini.
Pengiktirafan itu diberikan sebagai tanda penghormatan kepada sumbangan beliau terhadap pembangunan seni, budaya serta belia negeri Johor, selain kejayaan yang diraih di peringkat nasional dan antarabangsa.
Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak, 45, merupakan antara figura penting dalam industri muzik tanah air yang berjaya mengangkat martabat hip-hop Malaysia ke persada dunia.
Antara pencapaian beliau termasuk memenangi MTV Europe Music Awards 2018 bagi kategori Best Southeast Asia Act, menjulang Juara Lagu pada AJL29 menerusi lagu Apa Khabar bersama SonaOne, selain meraih 11 trofi Anugerah Industri Muzik (AIM) sepanjang karier.
Beliau juga aktif dalam melahirkan bakat baharu melalui label Kartel Records dan platform 16 Baris, selain mengembangkan perniagaan melalui rangkaian Joe’s Barbershop yang kini mempunyai lebih 20 cawangan di seluruh negara.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja penghormatan kepada saya secara peribadi, tetapi juga kepada seluruh anak muda Johor yang berani bermimpi dan berusaha mencapai kejayaan dalam apa jua bidang,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.
Terbaharu, Joe tampil dengan single “Berlian” yang membawa mesej motivasi kepada generasi muda, sekali gus membuktikan dirinya kekal konsisten dan relevan dalam industri muzik.
Dengan pengiktirafan ini, Joe Flizzow disifatkan sebagai antara ikon seni Johor yang berjaya menjadi inspirasi kepada anak muda, bukan sahaja dalam bidang seni, malah dalam kepimpinan dan keusahawanan.