September 7, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

JKKN Wilayah Persekutuan ‘Perkasa’ Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur 2024

2 min read
Spread the love

Festival Permainan Malaysia@ Kuala Lumpur yang memasukki edisi ke-9 terus diperkasakan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.  Justeru itu orang ramai dijemput untuk memeriahkan (FPM@KL 2024) yang turut dianjurkan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Festival itu akan berlangsung dari 13 hingga 16 September di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Pengarah JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hidayatul ‘Ein Mohamad Azmi, memberitahu bahawa program yang telah bermula pada tahun 2015 itu berkonsepkan festival dengan pelbagai aktiviti dan pengisian menarik.

Menurut Hidayatul, festival tersebut mengangkat permainan Malaysia sebagai teras programnya dan kali ini kategori dibuka kepada pelajar dan golongan belia.

FPM@KL 2024 merupakan salah satu program yang akan diadakan di peringkat negeri dengan mengangkat keunikan seni budaya setempat, khususnya permainan Malaysia.

“Selain itu, penganjuran festival ini diharap dapat menyediakan peluang menjana pendapatan kepada usahawan seni budaya dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat,” katanya pada Majlis Tea Break Media JKKN WPKL yang telah di adakan di Hotel Grand Barakah, Ampang pada 17 Julai lalu.

Hidayatul turut menjelaskan bahawa orang ramai juga berpeluang menyertai permainan lagenda seperti Batu Seremban, Bola Sepak Kain Sarung, Kabadhi, dan Kejohanan Tarik Tali yang menampilkan keunikan permainan tradisional Malaysia dan juga akan disokong oleh pelbagai pengisian lain seperti tarian singa, persembahan pentas, Nusantara Fun Run, Obstacle Extreme Challenge, Kejohanan Gasing Malaysia, sukan lastik, memanah dan menyumpit tradisional, bacaan puisi, serta jualan dan pameran oleh agensi kerajaan dan swasta.

Beliau turut menambah bahawa bagi memeriahkan lagi penganjuran FPM@KL 2024, terdapat unsur kejutan yang bakal disampaikan semasa festival itu nanti.

“Maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari laman sesawang JKKN iaitu www.jkkn.gov.my ataupun boleh layari Facebook JKKN melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya,” ujarnya.

Program utama JKKN WPKL di bawah Program Pelancongan Budaya yang dianjurkan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Persatuan Permainan Tradisional Malaysia (SUTRA).

Antara lain pengisian program TEA BREAK MEDIA JKKN WPKL 2024 itu diadakan adalah sebagai langkah utama dalam persediaan  mempromosikan program/aktiviti & JKKN Negeri ke arah VMY 2026.

Mewujudkan kemesraan antara media dan pentadbir budaya JKKN Negeri, memastikan jabatan dan media sentiasa dekat dan mudah didekati, mengangkat seni budaya dan warisan di media massa serta mewujudkan rasa tanggungjawab sosial bersama media.

Program ini juga merupakan salah satu usaha mengangkat dan mempromosikan seni budaya & warisan di media massa terutama media cetak, media elektronik & media sosial.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page