September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

JHEV ATM Anjur Malam Makan Amal untuk Veteran ATM

2 min read

Gambar oleh Maestro Media

Spread the love

Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) melalui Yayasan Veteran ATM sekali lagi menunjukkan komitmen mereka dalam menjaga kebajikan para wira negara. Dengan slogan “Memperkasa Veteran Tanggungjawab Bersama,” JHEV ATM dan Yayasan Veteran ATM kembali menganjurkan acara tahunan mereka, Malam Amal Tabung Pahlawan 2024.

Acara ini, yang bertemakan “Meraikan Bintang, Metamorfosis Hadapan,” akan berlangsung pada 24 September 2024 di Dewan Perkasa Wisma Perwira ATM dari pukul 8 malam hingga 10:30 malam. Malam Amal ini akan menjadi platform untuk menghargai jasa, pengorbanan, dan bakti para veteran ATM yang telah berjuang untuk keamanan dan kemakmuran negara.

Objektif utama Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang 2024 adalah untuk menyampaikan sumbangan kepada mereka yang layak, sambil diraikan dalam suasana meriah dengan persembahan daripada penyanyi jemputan.

Gambar oleh Maestro Media

Majlis ini juga akan menyaksikan pelancaran Kad Veteran Digital yang akan dirasmikan oleh YABhg Dato’ Seri Dr. Wan Azizah binti Dr. Wan Ismail. Selaras dengan era transformasi digital, JHEV ATM berhasrat untuk menggantikan kad veteran ATM manual (kad plastik) dengan Kad Veteran Digital yang mempunyai pelbagai fungsi dan faedah kepada warga veteran ATM.

Inisiatif ini sedang dalam proses pembangunan dan dijangka akan diperkenalkan pada 24 September 2024, semasa pelancaran Majlis Malam Amal Kempen Tabung Pahlawan (KTP). Kad veteran digital ini akan tersedia dalam aplikasi mudah alih Veteran Integrated Benefit System (VIBES) 2.0.

Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Dato’ Zambery Jefry bin Haji Darus, berkata, “JHEV ATM & Yayasan Veteran ATM sangat berbesar hati kerana sekali lagi dapat melaksanakan penganjuran tahunan kami iaitu Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang. Majlis ini bertujuan bukan hanya untuk menyampaikan sumbangan dan menghargai pengorbanan serta bakti para veteran ATM tetapi juga untuk merapatkan silaturahim di kalangan mereka yang pernah berjuang mempertahankan negara.”

Gambar oleh Maestro Media

Dua bintang tersohor negara, Datuk Jamal Abdillah dan Liza Hanim, akan menghiburkan dan menyantuni para veteran ATM dengan alunan merdu vokal mereka. Jamal Abdillah menyifatkan penglibatannya dalam majlis ini sebagai penghormatan buat para veteran ATM, manakala Liza Hanim merasa terharu kerana berpeluang menghiburkan tetamu istimewa.

Sejak penubuhannya, JHEV ATM & Yayasan Veteran ATM telah aktif mengumpul dana untuk Tabung Kecemasan bagi menyantuni para pejuang yang memerlukan. Untuk Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang 2024, tiga jenis kategori meja ditawarkan iaitu Perkasa (RM50,000), Perwira (RM20,000), dan Pahlawan (RM10,000).

Untuk maklumat lanjut, hubungi sekreteriat Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang 2024 di talian 019 6576 127 (Adawiyah), 012 7398586 (Nur Indra Dini) atau emel ke [email protected].


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page