Jenama Con-Damn The Corruptor Terus Diperkukuh
Tribal Punk Rock Dari Inanam, Sabah Kembali Dengan Material Baru
Oleh: Hasrie666 (KhabarAngin)
Con-Damn The Corruptor, atau lebih dikenali sebagai CTC, adalah sebuah band kolektif yang lahir di Inanam, sebuah daerah kecil di pinggir bandar Kota Kinabalu. Dikenali dengan suasana masyarakat yang peramah dan pandai berjenaka, band ini memilih aliran muzik punk rock sebagai tunjang utama muzik mereka. CTC mula berdiri sejak tahun 2006 dan semakin aktif dalam persembahan gig serta konsert pada tahun 2012. Sejak itu, mereka terus aktif sehingga ke hari ini, malah telah melakukan dua kali jelajah (tour) di Malaysia Barat.
CTC pada mulanya ditubuhkan oleh tiga orang anak muda yang bercita-cita tinggi untuk menjadi pemuzik profesional seperti idola-idola mereka. Antara band yang memberi inspirasi kepada mereka termasuklah Blink 182, Sum 41, Green Day, The Offspring, Rancid, Bad Religion, ACAB, dan The Suspects. Formasi band ketika ini terdiri daripada Ben sebagai drummer dan vokalis, Nukie di bahagian gitar dan vokal, serta Eyon di bahagian bass.
Pada permulaan, CTC banyak memainkan lagu-lagu cover dari band kegemaran mereka. Meskipun mereka cuba menghasilkan lagu sendiri, mereka merasakan hasilnya kurang memuaskan, mungkin kerana terlalu banyak bermain lagu cover. Namun, usaha mereka tidak sia-sia kerana setelah melalui banyak cabaran, CTC berjaya mengukuhkan kembali perjalanan muzik mereka pada tahun 2012.
Sejak reformasi pada tahun 2012, CTC giat mengadakan persembahan di pelbagai acara kecuali di majlis-majlis tahlil! Perjalanan muzik mereka penuh warna-warni, dengan semangat dan dedikasi untuk terus membawa aliran punk rock ke hadapan.
Pada tahun 2024, CTC berhasrat untuk melakukan jelajah ke Jepun. Namun, impian ini tergendala disebabkan beberapa masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan. Walaupun begitu, ahli band tetap bersiap sedia untuk jelajah tersebut, terutamanya Angkol Ben, frontman kepada CTC, yang sanggup makan nasi putih dengan telur mentah setiap hari semata-mata untuk mendapatkan ‘aura Jepun’. Walaupun jelajah itu terpaksa ditangguhkan, mereka kekal optimis, percaya bahawa rezeki akan tiba di masa yang lain.
Antara sedar atau tidak, CTC telah menghasilkan beberapa buah album dan kompilasi sepanjang perjalanan muzik mereka. Pada tahun 2013, mereka menghasilkan ‘Live Demo’, sebuah single yang berjudul ‘Sabahan Punks’, Temasya Ke Grisek Compilation (Indonesia Release) dan Sabahan Child Compilation.
Pada tahun 2014, mereka menghasilkan album pertama ‘ Con-Damn The Corruptor 2014, manakala pada tahun 2015 album kedua CTC diriliskan dengan judul ‘My Songs For You’ serta 2 buah split iaitu Con-Damn The Corruptor/Chugs On Deck Raya Split Special, Con-Damn The Corruptor/Roundoff 40/Dum Dum Tak/Mokers 4 Way Split dan Punk Rock Kan Raya Compilation.
Bagi terus mengukuhkan nama CTC, mereka tampil dengan sebuah promo iaitu “So Long My Friend Promo 2018”. “Songkial” yang juga merupakan album ketiga telah diriliskan pada tahun 2019. Pada tahun 2020 mereka telah terlibat dalam kompilasi “Tribute To The Bollocks Compilation” dan Con-Damn The Corruptor/Elephat Oi – Destroy The Border 2 Way Split.
Jenama dan panji-panji CTC terus dijulang, buktinya mereka bakal hadir dengan material terbaharu yang dirancang bakal dirilis dan dilancarkan dalam sebuah gig berjudul “Angkol-Angkol Show 2” yang akan berlangsung di Centura Studio Likas pada 26 Oktober ini.
Untuk mengikuti perkembangan terkini mengenai CTC, termasuk persembahan, gosip hangat, dan lain-lain, anda boleh mengikuti mereka di platform berikut:
Facebook: https://www.facebook.com/ConDamnTheCorruptor?mibextid=ZbWKwL
Instagram: https://www.instagram.com/condamnthecorruptor?igsh=cmxqcXB0bnFoMmI0
Email: [email protected]