May 30, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Janji Muzik Lebih Segar, Sarat dan Padat Energi Menerusi Konsert Barbarik: Pentas Peluru Cokelat

Spread the love

Kredit Foto: Subky Kelkatu TV

Kumpulan Barbarik tetap memilih menyampaikan lagu Kumpulan Wings pada Konsert Barbarik: Pentas Peluru Cokelat yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 28 Jun depan.

JoBranko menjelaskan bahawa, Barbarik menjadi medan mempertemukan kembali dua bekas anggota Wings iaitu dirinya dan Muss selepas lebih dua dekad tidak boleh lari daripada menyanyikan lagu-lagu dari band terdahulu

“Sebenarnya, kami mahu menyanyikan lagu sesiapa pun boleh sebab ada lagu yang saya hasilkan, jadi tiada masalah. Tapi, menerusi konsert ini, kami mahu hasilkan muzik lebih segar berbanding sebelum ini.

“Album Peluru Cokelat pun baru ada enam lagu baharu, jadi memang kami perlukan lagu-lagu yang zaman saya dengan Muss. Selepas itu, saya akan pilih lagu-lagu yang saya hasilkan dengan band lama.

“Sebab ada peminat nak dengar lagu bersama band sebelum ini, jadi kami beri sikit apa yang mereka nak dengar. Ada yang masih belum biasa dengan muzik Barbarik dan lebih suka lagu-lagu lama,” ujarnya pada sidang media Konsert Barbarik: Pentas Peluru Cokelat yang telah berlangsung di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 29 Mei lalu.

Selain lagu Wings, lagu yang pernah menaikkan nama Muss bersama May akan dipersembahkan pada konsert berkenaan bersama dengan lagu-lagu dari album Peluru Cokelat yang dikeluarkan tahun lalu.

Tambah JoBranko, konsert kali ini cukup istimewa kerana buat kali pertama Barbarik akan membawakan sepenuhnya lagu-lagu ciptaan sendiri dari album Peluru Cokelat.

“Sebelum ini, kami mendendangkan lagu-lagu ketika Muss bersama Wings iaitu dalam enam album, tetapi kali ini, ada buah tangan baharu yang menampilkan identiti Barbarik itu sendiri.

“Setiap konsert pasti mempunyai perbezaan dan terdapat elemen kejutan pada pembukaan, pertengahan dan penutup konsert. Kami memberi jaminan kepada peminat, konsert ini bakal menguji andrenalin secara total dari mula hingga akhir.

“Konsert bakal berlangsung selama dua jam dan kami akan mendendangkan sekitar 20 lagu, termasuk lagu lama dan baharu.

“Manakala pembabitan Karl Cromok sudah pasti mengundang sisi lain kepada konsert ini.  Ramai yang tahu bahawa saya dan Karl memang ada kolaborasi dalam album Peluru Cokelat, tapi hanya satu lagu.  Kali ini kami akan ‘battle’ bersama menerusi satu lagu lagi, kalua nak tahu kena datang”, ujar JoBranko.

“Apa yang boleh dijanjikan adalah persembahan yang akan membuatkan penonton tidak berganjak walau sedikitpun,” katanya.

Penonton akan berpeluang menghayati rendisi lagu lagu baharu dan lama, gandingan legenda muzik rock, Muss dan Jobranko berserta Rozaimi, Ainol dan pemuzik undangan dalam persembahan selama dua jam.

Dijangka 20 lagu bakal dimainkan di pentas di mana penonton akan dibawa melewati garis masa era 1980an dan 1990an dengan lagu malar segar dalam segmen ‘Retro Akustika’ bersama barisan gitaris undangan, Shah Slam, Ujang Tukimon, Muzza dan JoBranko, diiringi lapan barisan ‘string octet’.

Konsert dibawakan oleh Karri Talk Production dan Pentas Barbarik Sdn Bhd selaku penganjur bersama. Peminat boleh  mendapatkan tiket berharga (RM150), VIP Seating (RM280) dan VVIP Seating (RM380), hinggalah ke VIP Box (RM8,000 untuk 10 orang). Tiket boleh didapati secara atas talian di ilassotickets.com, manakala pembelian VIP Box dan sesi Meet & Greet boleh dibuat dengan menghubungi pihak penganjur


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page