October 18, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Jamal Abdillah, Rossa, Dayang Nurfaizah dan Joe Flizzow Bakal Gegar Johor 7 September Ini

Spread the love

Barisan penyanyi hebat seperti Dato’ Sri Rossa, Dato’ Jamal Abdillah, Dayang Nurfaizah dan Joe Flizzow bakal menggegarkan konsert Divas & Diamonds 2024 yang bakal diadakan pada 7 September 2024, jam 8 malam di Arena Larkin, Johor Bahru.

Dibawakan oleh Mega Eve Sdn Bhd, konsert ini bakal menghiburkan peminat di selatan tanah air dan empat figura hebat ini sudah pasti mempunyai fanatika yang sudah pasti membuat seluruh arena bergema dengan laungan dan sokongan yang tiada berbelah bahagi.

Menurut Joe, dia menerima tawaran untuk menjayakan konsert ini kerana Johor cukup dekat dihatinya apatah lagi sewaktu awal kemunculannya Johor cukup banyak menyimpan nostalgia buat dirinya.

“Saya merasa cukup teruja ketika diberitahu bakal beraksi di atas satu pentas bersama figura yang cukup hebat, rasanya saya terlalu ‘junior’ untuk bersama-sama mereka”, ujar Joe Flizzow sewaktu sidang media konsert Divas & Diamonds 2024 yang di adakan di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

“Saya akan menghiburkan penonton dengan lagu-lagu hit dan mungkin saya bakal berduet dengan Dato’ Sri Rossa, Insya-Allah,” katanya

Joe Flizzow juga menyifatkan bahawa, ia merupakan satu penghormatan untuk berkongsi pentas dengan Rossa, Dayang Nurfaizah dan Jamal Abdillah.

“Ia benar-benar satu penghormatan kepada saya dapat menyertai barisan yang bergemerlapan ini. Sejujurnya, saya sudah tak sabar mahu menghiburkan peminat di Johor”, tambahnya

“Berkongsi pentas dengan Rossa, Jamal dan Dayang Nurfaizah merupakan sesuatu yang berbeza, jadi peluang ini tidak dapat saya lepaskan. Persembahan saya bersama berisan artis hebat ini akan menjadi sebuah konsert yang sangat istimewa,” katanya.

Sementara itu Datuk Jamal Abdillah merasakan bahawa konsert ini begitu eksklusif sesuai dengan namanya iaitu Divas & Diamonds 2024.

“Peminat wajib datang ke konsert ini kerana anda bukan sekadar di hiburkan dengan lagu-lagu yang bergenre pop, balada dan sebagainya tetapi lagu-lagu yang bergenre hip hop.  Inilah kelainan konsert ini berbanding dengan konsert-konsert lain”, ujar beliau.

“Mungkin saya juga akan ber hip hop bersama Joe Flizzow, siapa tahu kan?, jadi kalau nak lihat saya hip hop ke tidak kena lah datang”, seloroh Dato’ Jamal.

Menurut penganjur, Mega Eve Sdn Bhd, Dr Farhan, kutipan konsert ini bakal disumbangkan untuk membantu saudara Islam di Gaza.

“Lima peratus daripada hasil tiket akan disalurkan bagi menyokong bantuan di Gaza, Palestin. Sumbangan ini akan diserahkan terus kepada pegawai Kedutaan Palestin untuk membantu saudara dan saudari kita di Gaza.

“Mega Eve akan terus menyokong usaha Kerajaan dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin sambil melaksanakan pelbagai acara pada masa akan datang,” ujarnya.

En Aman Ali, Pengarah Projek turut memberitahu bahawa setiap artis akan menyampaikan 5 buah lagu, sungguhpun begitu mereka juga diingatkan agar bersiap sedia dengan lagu ‘bonus’ seandainya ada permintaan di kalangan peminat.

“Untuk konsert ini, setiap artis yang terbabit akan menyampaikan sekitar lima lagu. Pada saya ianya pasti sarat dengan momentum selain itu penononton juga bakal menikmati sistem audio yang berkualiti sejajar dengan qualiti artis yang kami tampilkan”, ujarnya lagi.

“Saya juga percaya setiap artis yang di pilih untuk menjayakan konsert ini punya peminat mereka sendiri, apatah lagi mereka yang berada di Singapura.  Inilah peluang dan ruang yang ada yang mana pihak Mega Eve bawakan kepada anda dengan lebih dekat”, katanya.

Johor yang berada dekat dengan Singapura menjadi salah satu faktor mengapa konsert ini bakal berlangsung di Johor Bahru.

Pihak penganjur juga menitikberatkan aspek ‘kepuasan’ optimum kepada penonton, meskipun Arena Larkin, Johor Bahru mampu memuatkan lebih 6500 kapasiti penonton dalam satu-satu acara.

Harga tiket untuk Divas & Diamonds bermula dari RM288 hingga RM888. Untuk membeli tiket dan untuk segala pertanyaan, sila layari https://www.ticket2u.com.my/


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page