October 1, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Iskandar Zulkarnain Kembali Dengan “Sewaktu Bahagia”

Spread the love

Iskandar Zulkarnain, penyanyi pop rock dan bekas anggota Projektor Band, kini membuat kemunculan semula setelah sekian lama menyepi dengan pelancaran single solo terbaharunya berjudul “Sewaktu Bahagia”. Lagu penuh emosi ini diterbitkan di bawah label Luncai Emas, menandakan langkah seterusnya dalam perjalanan seni beliau.

“Sewaktu Bahagia” lahir daripada kisah benar yang dialami oleh komposer dan penulis lirik Luncai Emas, Aidil AF dan Jeremy Erskine, yang kedua-duanya menghadapi kekecewaan dalam percintaan. Baris lirik seperti “kau berubah tanpa ku sedar, kau hancurkan sewaktu bahagia” merangkumkan rasa kecewa terhadap kekasih yang merosakkan kebahagiaan yang pernah dikecapi. Lagu ini merupakan luahan hati yang jujur, disulami dengan keindahan melodi dan kepedihan perasaan.

Menariknya, pertemuan antara Aidil dan Iskandar berlaku secara tidak dirancang apabila Aidil bersahabat dengan Nabil, sepupu kepada Iskandar. Suatu hari, Nabil menyampaikan kepada Aidil bahawa Iskandar sedang mencari peluang kedua untuk bangkit semula dalam industri muzik. Tanpa berlengah, Aidil memperkenalkan Iskandar kepada pihak Luncai Emas, dan dari situlah lahirnya kerjasama ini. Iskandar sebelum ini terkenal dengan suara dan kebolehannya tersendiri dalam lagu-lagu beremosi yang telah hits di radio.

Iskandar menyatakan rasa gembira dan syukurnya dapat bekerjasama dengan nama-nama besar seperti Aidil AF dan Dato’ M. Nasir. Beliau menambah, “Lagu ini bukan sahaja mencerminkan kisah peribadi, tetapi juga lambang kebangkitan semula saya dalam dunia muzik”. Iskandar turut menyatakan harapannya agar “Sewaktu Bahagia” bukan sekadar diterima baik, tetapi mampu menjadi lagu

evergreen yang terus relevan merentasi generasi. Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada para peminat yang tidak pernah putus memberi sokongan dan setia menantikan kemunculan semulanya. “Terima kasih atas segala doa dan sokongan. Nantikan yang terbaik daripada saya,” katanya.

Pengarah Produksi Luncai Emas Sdn Bhd, Keon Omar, telah memilih Hidayat Nasir, seorang penerbit muda, untuk menggalas tanggungjawab menerbitkan single ini. Hidayat Nasir, penerbit lagu “Sewaktu Bahagia” dan juga pemain gitar kumpulan Pitahati, menyatakan, “Saya amat bersyukur kerana diberi peluang untuk menerbitkan lagu terbaharu nyanyian Iskandar Zulkarnain, hasil ciptaan Aidil, yang menandakan kemunculan semula Iskandar selepas beberapa tahun tanpa karya baharu. Kolaborasi ini tidak mungkin berjaya tanpa sokongan pihak Luncai Emas yang mempercayai kemampuan saya sebagai penerbit baharu”.

Mengenai proses pembikinan lagu ini, Hidayat berkata, “Antara cabaran utama adalah untuk memastikan lagu ini lebih sesuai dengan sifat maskulin Iskandar”. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pasukan produksi hebat yang turut terlibat, termasuk Zahar dari Pitahati sebagai pemain gitar dan Faliq Mohd selaku jurutera bunyi, serta abang Ujang dari Exist selaku pemain drum untuk single “Sewaktu Bahagia” ini.

Proses penghasilan lagu ini turut mendapat sentuhan istimewa daripada Dato’ M. Nasir, yang membimbing dan memantau Iskandar dalam menyampaikan lagu ini dengan lebih berkesan. Bimbingan dan nasihat daripada legenda muzik tanah air itu memberi impak besar terhadap mutu akhir karya ini.

Sebuah video lirik “Sewaktu Bahagia” telah dibuat penggambarannya dan akan dirilis di saluran YouTube Luncai Emas pada 25 Julai 2025, berserta audio rasmi di semua saluran digital.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page