Irama Maldivian Gegar Malaysia November Ini!
Dream Beyond Borders satukan budaya dua negara dalam satu pentas muzik
Buat pertama kali, peminat muzik tempatan bakal dibawa merasai alunan irama tropika dari Kepulauan Maldives menerusi persembahan istimewa “Dream Beyond Borders” yang akan berlangsung pada 7 November ini di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC).
Menampilkan empat kumpulan muzik terkenal dari Maldives – 2OFUS, FASYLIVE, SPITBALL dan Heyvalla Boduberu Group, acara ini turut mempertemukan mereka dengan wakil Malaysia, Tone Conspirators, dalam satu malam penuh warna, irama dan semangat persahabatan rentas budaya.
Tiket berharga bermula RM106 kini sudah mula dijual di laman rasmi 2OFUS.mv.
Diterajui kumpulan fusion terkenal 2OFUS, konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi simbol kesatuan antara dua budaya serumpun Asia. Kumpulan yang pernah mewakili Maldives di pentas antarabangsa seperti Saregama’s Battle of the Bands International (tempat ketiga) dan disenarai pendek untuk Britain’s Got Talent Season 19 itu terkenal dengan gabungan lirik Dhivehi, Hindi dan Inggeris dalam satu persembahan yang penuh jiwa.
Ahli kumpulan 2OFUS, Ahmed Adhuham berkata, Dream Beyond Borders lebih daripada sekadar konsert.

“Ia tentang hubungan antara manusia, tentang menghubungkan dua budaya melalui rentak, emosi dan penceritaan. Setiap nota yang kami mainkan membawa semangat pulau kami, dan kami mahu rakyat Malaysia merasai degupan itu,” katanya.
Selain 2OFUS, pentas turut dimeriahkan dengan FASYLIVE, band rock Maldivian yang terkenal dengan bunyi spontan, gabungan blues, metal dan ritma pulau yang unik malah pernah beraksi di Rainforest World Music Festival di Sarawak.
Turut serta, SPITBALL, kumpulan punk rock yang membawa semangat anak muda Maldives, manakala Heyvalla Boduberu Group pula bakal mempersembahkan seni tradisi Boduberu di mana persembahan gendang dan tarian berakar daripada warisan purba kepulauan tersebut, buat pertama kali di Malaysia.
Dari pihak tempatan, Tone Conspirators yang diterajui Ananth Kumar, bakal menggegarkan pentas dengan alunan rock moden beremosi tinggi.
Bagi Ananth Kumar, peluang berkongsi pentas bersama artis Maldives merupakan pengalaman istimewa yang melangkaui sempadan bahasa dan genre.

“Muzik ialah penghubung paling kuat. Ia tak perlukan terjemahan. Kami teruja untuk lihat bagaimana bunyi dan semangat kedua-dua negara boleh berpadu di atas satu pentas,” katanya.
Menurut penganjur bersama, 2OFUS dan PHAT KATZ EVENTS MANAGEMENT, konsert ini menjadi permulaan kepada jalinan kreatif jangka panjang antara Malaysia dan Maldives — termasuk peluang kolaborasi, pertukaran bakat dan penganjuran festival rentas sempadan pada masa depan.

“Dream Beyond Borders menanam benih untuk kerjasama seni yang berterusan antara dua negara. Ia bukan penamat, tetapi permulaan kepada sesuatu yang lebih besar,” ujar wakil penganjur.
Dengan gabungan muzik tradisional dan moden, Dream Beyond Borders menjanjikan satu malam yang menghubungkan semangat pulau dan tenaga kota di mana irama Maldivian bertemu dengan jiwa Malaysia.
Bagi mereka yang cintakan muzik dan budaya, ini adalah peluang untuk menyaksikan bagaimana dua dunia berpadu dalam satu bahasa sejagat iaitu muzik.
