September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Irama dan lagu satukan UK’s dan Slam di Stadium Melawati, Shah Alam Febuari Ini

3 min read
Spread the love

Teks Oleh: Sakka E

Irama pop dan balada cukup sinonim dengan kedua kumpulan ini namun masing – masing punya gaya dan keunikan tersendiri dalam menyampaikan karya – karya agung dari komposer – komposer hebat seperti Saari Amri dan Rahim Othman.

Muncul di awal 90an dan setelah lebih 30 tahun UK’s dan Slam telah mengahasilkan puluhan lagu – lagu malar segar yang sehingga ke hari ini masih terus berkumandang di corong – corong radio tempatan dan juga menjadi siulan para peminat mereka yang lama mahupun yang baru.

Bagi meraikan kelestarian harmonis wirama bersama para peminat mereka yang terus menerus menyokong mereka,

sebuah konsert yang menggabungkn kedua kumpulan hebat ini di sebuah pentas yang gah di Stadium Melawati, Shah Alam pada 3 Februari 2024.

Persembahan yang bakal berlangsung selama 3 jam ini bakal menyaksikan beberapa lagu dari kedua – dua kumpulan in diberikan nafas baru dengan susunan istimewa buat konsert ini malahan kedua – dua penyanyi iaitu Zamani dan Amir juga akan berduet menyanyikan beberapa lagu dari UK’s dan Slam dan juga beberapa lagu yang akan disampaikan secara medley.

Konsert yang bakal mencipta sejarah buat kedua – dua kumpulan ini yang penuh dengan keunikan tersendiri dihidangkan khas buat peminat – peminat mereka dan sebagai peminat setia sudah tentu mereka tidak mahu ketinggalan bersama dalam coretan kenangan terindah dan momen penting buat UK’s dan Slam dan juga sebagai peminat tegar mereka.

“Concert UK’s Slam Musical” judul diberi, dianjurkan oleh Bombbay Legend Worldwide bersama AmirUKs Entertainment, yakin dapat mencapai sasaran dalam menyatukan para peminat dari kedua – dua kumpulan legenda pop dan balada ini dan setakat ini penjualan tiket amatlah memberangsangkan.

“Sebelum ini saya hanya menyanyi menghiburkan orang. Kini ia akan digunakan sepenuhnya untuk mengendalikan konsert pula”, ujar Amir ketika ditemui media sewaktu menjalani latihan di salah sebuah studio di Sungai Buloh baru-baru ini.

“Dalam waktu sama, saya juga masih belajar dan tidak tahu semua. Alhamdulillah… saya bergabung dengan Bombbay yang berpengalaman kendalikan konsert besar sebelum ini. Bila dia ada untuk ‘guide’, buat saya yakin dengan pengalamannya. Apabila kami berbincang, akhirnya dapat kata putus bergabung bersama untuk konsert ini,” katanya.

Zamani pula menganggap gabungan mereka dengan UK’s adalah sesuatu yang menarik untuk disajikan kepada peminat.

“Ia satu konsert berbeza. Selama ini Slam buat konsert solo, tapi kali ini bersama UK’s. Kami akan tukar-tukar menyanyi lagu popular masing-masing dalam konsert ini.  Walaupun kami sama satu genre muzik, tapi perbezaan akan nampak dari segi vokal dan persembahan nanti,” ujarnya

Amir UK’s turut menyatakan, tiada unsur persaingan antara kedua – dua kumpulan ini memandangkan masing – masing mempunyai kelebihan dan keunikkan tersendiri, tujuan utama konsert ini adalah untuk meraikan para peminat mereka dengan lagu – lagu hits sepanjang zaman mereka.

Manakala bagi Bombay atau nama sebenarnya, Zamberi Shaari yang juga bertindak sebagai Produser konsert mengakui, bukan mudah untuk meletakkan dua artis berkumpulan popular dalam satu acara konsert.

“Ia bercorak muzikal dan sudah tentu, visual yang dipaparkan akan menggunakan LED. Jadi, penonton akan mendengar lagu-lagu popular UK’s dan Slam yang didendangkan di atas satu pentas kerana kedua-dua kumpulan ini, berkongsi pentas dalam erti kata sebenar,” katanya.

“Namun, magisnya bakal di terjemahkan oleh UK’s dan Slam untuk menentukan arah tuju. Kami yakinkan kepada semua peminat bahawa ia satu konsert yang sangat berlainan daripada konsert sedia ada. Sebab itu kami adakan gabungan,” tambahnya.

Konsep persembahan ini dibahagikan kepada beberapa segmen yang mempunyai nilai sentimentalnya tersendiri. Antara elemen yang akan diketengahkan di antara persembahan daripada setiap segmen ke segmen yang lain akan disulami dengan susunan gabungan audio visual secara muzikal.

Bagi yang berminat bolehlah mendapatkan tiket dengan melayari laman web www.ilassotickets.com. Tiket – tiket dijual dengan harga GOLD ZONE : RM588, SILVER ZONE : RM308, BRONZE ZONE : RM248, YELLOW ZONE : RM408, ORANGE ZONE : RM208, PURPLE ZONE : RM148, RED ZONE : RM248, BLUE ZONE : RM188, GREEN ZONE : RM108.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page