April 8, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

iQIYI Perkukuh Tapak di Malaysia, Lancar 5 Drama Melayu Baharu 2026 Sempena Raya, Esther Yu Jadi Tarikan

Spread the love

Bahang Hari Raya bukan saja dirasai di jalanan, malah turut ‘meletup’ dalam dunia penstriman apabila iQIYI International tampil mengumumkan lima drama Melayu baharu bagi tahun 2026 dalam acara gemilang “Celebr-Eid with Team Raya iQIYI 2026.”

Acara tersebut turut dihadiri oleh YB Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi Malaysia; Encik Zheng Xuefang, Menteri Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia; dan Encik Yang Xianghua, Presiden iQIYI International.

Lebih menarik, iQIYI tidak ‘kedekut’ apabila mempertaruhkan lima judul segar yang dijangka mencuri perhatian penonton tempatan iaitu Dua Nyawa, Madu Atau Racun, Ceraikan Aku Sekali Lagi, Sekali Lagi, Bahagia dan Griya.

Langkah agresif ini membuktikan kesungguhan platform itu dalam mengukuhkan kedudukan mereka di Malaysia sejak mula aktif menghasilkan drama Melayu pada 2020.

Menurut Pengarah Urusan Kanan iQIYI Asia Tenggara, Dinesh Ratnam, Hari Raya menjadi waktu paling sesuai untuk menyatukan industri kreatif tempatan.

“Hari Raya adalah masa yang cukup bermakna untuk komuniti dan industri kreatif bersatu. Kami bangga dapat meraikannya bersama rakan kongsi, artis dan pencipta yang membentuk penceritaan Malaysia,” katanya pada majlis sambutan hari raya yang telah di adakan di Andaman Grand Ballroom Kuala Lumpur pada 7 April lalu.

Tambah beliau, iQIYI akan terus memperluas pelaburan dalam karya tempatan.

“Kami komited untuk membawa lebih banyak karya asli Malaysia sambil terus menyajikan hiburan Asia terbaik daripada cerita tempatan hingga drama Cina yang diminati ramai agar ianya lebih dekat kepada penonton di sini.” Tambahnya.

Dalam masa sama, fenomena drama Cina di Malaysia semakin luar biasa apabila tontonan dengan sarikata Bahasa Melayu meningkat dua kali ganda.

Malah, carian berkaitan “drama Cina” di internet turut melonjak, membuktikan selera penonton kini semakin terbuka dan pelbagai.

Kemuncak acara pastinya kehadiran bintang popular China, Esther Yu yang tampil sebagai Duta Global Antarabangsa iQIYI.

Pelakon drama hit Speed and Love itu nyata tidak menyangka sambutan hangat peminat Malaysia.

“Saya sangat terharu dengan sokongan peminat di Malaysia. Ia membuatkan saya rasa lebih dekat dengan mereka walaupun datang dari latar budaya berbeza,” katanya sambil tersenyum.

Beliau turut mengakui teruja melihat bagaimana drama Cina kini diterima luas di negara ini.

Selain produksi sendiri, iQIYI terus mengukuhkan jaringan melalui kerjasama dengan pemain industri seperti Media Prima serta jenama tempatan Safi. Acara itu sendiri menghimpunkan lebih 30 artis dan rakan industri sekaligus memberi satu signal jelas bahawa iQIYI bukan sekadar platform penstriman, tetapi kini pemain serius dalam ekosistem hiburan Malaysia


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page