February 17, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Inteam Bangkit Dengan ‘Citra Kasih’ – Album Baharu Satukan Nostalgia & Sentuhan Hijjaz Selepas 20 Tahun

Spread the love

Gegaran 12,000 peminat di Axiata Arena menerusi Konsert Nur Kasih baru-baru ini bukan sekadar mencipta sejarah manis buat Inteam, malah menjadi pemangkin kepada kelahiran sebuah karya penuh makna iaitu album terbaharu berjudul Citra Kasih.

Tampil dengan 17 trek, album ini ibarat hadiah eksklusif buat peminat yang setia menyokong perjalanan seni Inteam selama 25 tahun. Lebih istimewa, Citra Kasih menyaksikan kembalinya kolaborasi antara Inteam dan kumpulan nasyid legenda, Hijjaz, selepas hampir dua dekad tidak bekerjasama.

Menurut Hisyam, peluang kembali menerima sentuhan Hijjaz dalam penghasilan lagu memberi makna mendalam kepada keseluruhan projek ini.

“Hampir 20 tahun kami tidak mendapat sentuhan Hijjaz. Alhamdulillah, kali ini Abang Isman menyumbangkan lagu Hamparan Kasih manakala Abang Munif menghasilkan Citra Kasih, dengan lirik oleh ITO Lara. Ia benar-benar mengubat rindu,” katanya.

Gabungan dua nama besar dalam dunia nasyid itu bukan sahaja membangkitkan nostalgia, malah memperkukuh identiti muzik dakwah moden yang menjadi kekuatan Inteam sejak awal penubuhan mereka pada tahun 2000.

Selain lima lagu baharu, Citra Kasih turut menampilkan empat lagu solo yang memberi ruang kepada setiap anggota menyerlahkan karakter vokal masing-masing antaranya adalah Jendela Hafsah – Syah, Aku Diuji – Hisyam, DiSisiMu – Hazamin dan Asmaul Anbiya – Rahim

Tidak sekadar itu, album ini turut memuatkan kolaborasi penuh emosi seperti Kias Cinta 2.0 bersama anak-anak Allahyarham Suhaimi Saad (Hadie El Fardie & Sallman El Khoyri).

Manakala lagu Kudus Palestin duet bersama Lah Ahmad pula mencipta impak tersendiri apabila meraih pengiktirafan Vokal Terbaik di Anugerah Carta 114 TV AlHijrah.

Turut dimuatkan ialah lagu remake Alangkah Indah (asal Kumpulan Al Anwar) serta Madrasah Ramadan bersama kumpulan Zayne—menjadikan album ini lengkap dari segi variasi dan emosi.

Rahim mengakui cabaran utama adalah membahagikan masa antara komitmen persembahan dan proses rakaman.

“Walaupun jadual padat dengan persembahan dan persiapan konsert, kami tetap beri komitmen penuh di studio. Alhamdulillah, maklum balas awal peminat sangat positif,” katanya.

Hazamin pula menyifatkan Citra Kasih sebagai simbol penghargaan buat peminat yang sentiasa menyokong mereka, khususnya selepas kejayaan besar di Axiata Arena.

Diterbitkan oleh Inteam Records Sdn Bhd, Citra Kasih dilancarkan secara rasmi pada 1 Februari 2026 dan kini boleh dinikmati di semua platform digital utama.

Selepas 25 tahun mengemudi gelombang nasyid moden, Inteam membuktikan mereka bukan sekadar nama nostalgia, tetapi terus relevan mengisi pentas arus perdana tanpa meninggalkan roh dakwah dan mesej kasih yang menjadi teras perjuangan mereka.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page