Inteam 25 Tahun: Harmoni Kasih Yang Tak Pernah Usai

Seni Nasyid Diangkat Sebagai ‘Penyembuh’ Kasih Yang Menyentuh Deria Dan Rohani
Kredit Foto: Papadin
Lebih dua dekad berdiri sebagai wajah penting muzik nasyid tanah air, Inteam sekali lagi membuktikan bahawa karya seni yang berakar daripada kasih dan doa tidak pernah lekang dimamah zaman. Konsert Kasih Kekasih yang berlangsung sempena ulang tahun ke-25 mereka bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi sebuah ritual emosi yang menyatukan muzik, kenangan, dan cinta rohani.

Seawal derap kaki melangkah ke pentas, dewan bergema dengan medley “Kasih Kekasih”, “Nur Kasih” dan “Setanggi Syurga”. Suara harmoni yang tersusun rapi menjadi semacam jambatan antara masa lalu dan kini — menghidupkan kembali memori kolektif yang sudah sebati dalam jiwa peminat. Susunan muzik baharu yang kaya dengan lapisan instrumen, disulam harmoni vokal yang menjadi DNA Inteam, menghadirkan rasa segar namun tetap akrab di telinga.
Tidak hanya menghiburkan, malam itu turut mengangkat komposisi baharu bertemakan Cinta Illahi, Sayang Nabi dan Kasih Manusia. Dibawakan dengan penghayatan mendalam, lirik-liriknya seakan doa yang berbisik di hati, mengingatkan penonton bahawa muzik boleh menjadi jendela rohani. Sesekali kelihatan wajah-wajah yang larut dalam tangisan — tanda getar emosi yang benar-benar menyentuh jiwa.

Konsert ini juga direncahkan dengan detik-detik kolaborasi yang menyuntik warna baharu. Khai Bahar tampil dalam duet “Impian Kasih”, membawa nuansa mesra antara dua generasi suara. Lebih mengharukan, Sallman Elkhoyri, putera Suhaimi, turut bersama dalam “Kias Cinta” dimana momen keluarga yang jarang-jarang berlaku, melakar satu lagi sejarah peribadi dalam perjalanan seni Inteam.
Segmen medley pula menjadi pesta nostalgia dengan deretan karya ikonik: Sentuhanmu, Doa Seorang Kekasih, Hembusan Kasturi, KeredhaanMu, Damba Kasih, Tanpamu, Harum Setangkai Doa hingga Kepastian. Kehadiran tetamu undangan seperti Yusuf, Husaini, Zakiy dan Mateen menambahkan kepelbagaian tekstur vokal, menjadikan persembahan lebih berwarna.

Dan kemudian hadir momen paling intim iaitu sewaktu Hijjaz diundang membawakan Sumaiyah secara acapela. Tanpa iringan muzik, hanya harmoni suara yang bergema, dewan tiba-tiba terasa seperti majlis zikir. Ditambah pewangi yang disebarkan ketika “Setanggi Syurga”, pengalaman malam itu menjadi multisensori sekali gus membuktikan bahawa konsert bukan sekadar audio, tetapi juga rasa dan deria.

Malam itu dipenuhi dengan deretan lagu penuh makna: Siti Khadijah, Kalimah Cinta, Taybah, Pemergianmu, Ratu Syahadah, Ya Rabbi Ya, Surat Cinta, Segenggam Tabah, Selamatkan Dunia, Selimut Kasih hingga Solatullah. Setiap judul hadir bukan sekadar hiburan, tetapi sebagai peringatan bahawa seni muzik boleh menjadi bekal perjalanan rohani.
Sorakan gemuruh memuncak apabila Inteam mengumumkan konsert baharu, Inteam Nur Kasih, yang akan berlangsung di Axiata Arena pada 1 Februari 2026, anjuran Icon Entertainment. Fenomena ini sekali lagi membuktikan keutuhan legasi mereka dimana tiket asal habis terjual dalam tempoh singkat, memaksa lokasi dipindahkan ke Idea Live Arena, Petaling Jaya agar lebih ramai peminat dapat turut sama menyelami keindahan seni mereka.

Akhirnya, Kasih Kekasih bukan sekadar konsert, tetapi satu perayaan perjalanan dari remaja yang membesar dengan nasyid mereka, hingga generasi baharu yang kini mewarisi cinta pada karya-karya Inteam.
Dalam setiap harmoni, doa dan kasih yang dibawa malam itu, terbukti satu hakikat: selepas 25 tahun, kasih peminat terhadap Inteam bukan sahaja masih hidup, tetapi terus bernyawa, menyala, dan tak akan pernah padam.