Inteam 2026: Nur Kasih — 25 Tahun Istiqamah, Satu Malam yang Menjadi Doa
Disaksikan ribuan mata dan disambut dengan rasa syukur, 1 Februari 2026 menjadi malam yang mengikat kenangan buat Inteam apabila Konsert Inteam 2026: Nur Kasih anjuran Icon Entertainment mengangkat nasyid daripada sekadar persembahan kepada pengalaman jiwa di pentas berprestij Axiata Arena.
“Satu Februari 2026 terpahat sebagai kenangan yang indah untuk kami.”
Ungkapan Abdul Rahim Osman atau Rahim Inteam itu bukan sekadar kata alu-aluan, tetapi refleksi kepada sebuah perjalanan panjang. Perjalanan seni yang dibina dengan kesabaran, istiqamah dan keyakinan bahawa muzik yang lahir daripada niat baik akan sentiasa menemukan pendengarnya.

“Tidak pernah terfikir yang kami dapat mengadakan konsert di Axiata Arena. Terima kasih atas peluang ini,” katanya, disambut sorakan dan tepukan gemuruh penonton yang memenuhi ruang dewan, seakan mengaminkan rasa syukur yang dilafazkan di pentas.
Bagi sebuah kumpulan nasyid yang bermula lebih dua dekad lalu, berdiri di Axiata Arena bukan sekadar pencapaian fizikal, tetapi simbol pengiktirafan terhadap sebuah perjuangan senyap dimana perjuangan mengekalkan muzik berteras nilai dalam arus industri yang sentiasa berubah.

Lebih daripada sebuah konsert, Inteam 2026: Nur Kasih adalah perayaan 25 tahun perjalanan Inteam, mengimbau semula fasa kehidupan yang pernah dilalui bersama peminat dari zaman kaset dan CD, ke era digital, daripada lagu yang menjadi siulan, kepada karya yang menjadi peneman doa dan muhasabah diri.
Sepanjang hampir tiga jam persembahan, Inteam menghadiahkan lebih 30 buah lagu yang disusun rapi, bukan sekadar untuk menghibur, tetapi untuk mengingatkan tentang cinta, pengorbanan, keluarga dan hubungan hamba dengan Pencipta.

Antara lagu yang menjadi tunjang persembahan ialah Dia Muhammad, Kasih Kekasih, Siti Khadijah dan Rabiatul Adawiyah. Karya-karya yang bukan sahaja membesarkan nama Inteam, tetapi turut membentuk landskap nasyid kontemporari Malaysia. Setiap bait lirik terasa seperti peringatan halus, mengajak pendengar kembali kepada nilai yang sering terpinggir dalam hiruk-pikuk kehidupan moden.

Detik emosi terus diperkukuhkan menerusi segmen medley Kasihku Abadi, Ratu Syahadah dan Satukan Kami Di Syurga seolah-olah satu doa yang dipanjatkan secara berjemaah, menyatukan ribuan jiwa dalam satu harapan yang sama. Lagu Nur Kasih pula berdiri sebagai nadi keseluruhan konsert, merangkum makna cinta yang tulus dan kebergantungan kepada Yang Maha Esa.
Keistimewaan konsert ini turut diserlahkan dengan kehadiran barisan artis undangan yang bukan sekadar pelengkap, tetapi simbol persaudaraan dan kesinambungan dalam muzik berteraskan nilai.

Zizi Kirana tampil dengan persembahan Wahsini yang dipopularkan Waheeda, sebelum menyampaikan Perang Dah Tamat lagu yang didedikasikan kepada rakyat Gaza. Persembahan itu menjadikan pentas konsert sebagai ruang empati, solidariti dan doa yang dilagukan.
“Malam ini sangat indah kerana kita meraikan 25 tahun Inteam, kumpulan nasyid yang banyak berkongsi semangat dengan kita semua,” ujarnya.

Sorakan penonton semakin bergema dengan kemunculan Nazrey Johani, bekas anggota Raihan, yang bergandingan bersama Inteam menerusi lagu Kehidupan. Kemunculan Nazrey membawa makna tersendiri, mengingatkan kepada era kebangkitan nasyid arus perdana yang pernah menyatukan generasi. Lagu Puji-Pujian yang dipersembahkan kemudiannya mencetuskan nyanyian beramai-ramai, menjadikan seluruh Axiata Arena seolah-olah satu saf suara yang bersatu.
“Selepas sekian lama tidak menyanyikan lagu ini, malam ini saya persembahkan Puji-Pujian untuk anda,” katanya.

Kehadiran Datuk M. Nasir pula melengkapkan makna reflektif konsert ini. Sebagai figura yang disegani dan sering dikaitkan dengan karya berjiwa besar, M. Nasir menghadiahkan Perjalanan 2 dan Bonda secara duet bersama Inteam. Persembahan itu terasa seperti dialog antara generasi yang sarat pesan, hikmah dan kasih seorang guru kepada anak murid.

“Malam ini saya teruja, terasa seperti sebahagian ahli Inteam,” selorohnya, disambut tepukan panjang.
Sebagai penutup, Inteam memilih untuk tidak mengakhiri malam dengan gimik atau sensasi, sebaliknya menyempurnakan persembahan dengan tiga lagu terakhir iaitu Dia, Setanggi Syurga dan Nur Kasih. Alunan penamat itu terasa seperti doa penutup sebuah majlis, meninggalkan ketenangan yang berpanjangan di hati penonton.


Harmoni vokal Abdul Rahim Osman, Muhammad Hazamin, Hisyam, dan Syah kekal mantap sepanjang malam. Walaupun tubuh menunjukkan kepenatan selepas puluhan lagu, suara mereka pitch perfect, membuktikan bahawa istiqamah tidak hanya tersemat dalam niat, tetapi juga terzahir dalam konsistensi seni.
Pentas malam itu dipenuhi visual latar dan cahaya yang halus, bukan sekadar efek, tetapi sebagai medium naratif spiritual. Warna simbolik perjuangan, cahaya yang menyorot setiap anggota, dan penataan pentas yang rapi, menjadikan konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi manifestasi nilai dan doa yang dibawa melalui muzik.
