November 22, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Inspirasi Kebebasan dan Keyakinan Diri Dalam I’m A Rebel!

Spread the love

Kolaborasi unik antara dua penyanyi muda berbakat, Kat Roshan dan Asyraf Nasir, menghasilkan sebuah lagu baharu bertajuk I’m A Rebel! yang penuh dengan mesej berani. Muzik video lagu ini menampilkan elemen antarabangsa, difilemkan di London, tempat Kat Roshan sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Kriminologi di University College London (UCL).

Dengan mesej kebebasan dan keberanian untuk menghadapi cabaran hidup, lagu ini membawa semangat pemberontakan positif dan keyakinan diri. Kat Roshan, yang dikenali dengan vokal mantap serta imejnya yang berani, bersama Asyraf Nasir sebagai penyanyi dan penulis lagu, menyuntik nafas baharu melalui elemen pop moden dan elektronik segar.

Lagu I’m A Rebel! dihasilkan oleh RADi dan Jaysontxp, manakala liriknya ditulis oleh Asyraf, Adam E, dan Kat sendiri. Menurut Kat, lagu ini melambangkan keberanian untuk menjadi diri sendiri tanpa gentar dihakimi. Kat berkata, “Saya mahu pendengar berhubung dengan diri mereka yang ada semangat ‘pemberontak’ secara bertanggungjawab.”

Mengulas mengenai kolaborasi dengan Asyraf, Kat menyatakan pengalaman tersebut sebagai sangat berharga, bahkan menyeronokkan ketika penggambaran di London. Bersama mereka adalah Toby, penerbit serta videographer kreatif, yang bersungguh membawa peralatan seberat 15 kg untuk satu babak penggambaran.

Beberapa rakan universiti Kat turut membantu dalam muzik video ini, meluangkan masa dari jadual padat mereka. Kat turut menghargai bantuan guru tarian peribadinya, Sarah Jane, dalam menghasilkan koreografi tarian yang memukau.

Asyraf Nasir pula mengakui, pengalaman menghasilkan I’m A Rebel! sangat menarik. “Kami meneroka pelbagai bunyi dan gaya untuk mencipta sesuatu yang benar-benar segar,” katanya. Menariknya, separuh kedua lagu ini membawa genre berbeza, mencerminkan minat mereka terhadap muzik dance pop.

Kini, lagu I’m A Rebel! boleh didengari di platform penstriman seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube. Video muzik rasmi juga telah dilancarkan, menampilkan konsep kebebasan dan ekspresi kreatif diri, dijangka meraih perhatian peminat muzik tempatan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page