September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Insomniacks Lancar Album Baharu ‘TEMAN EP’ di Kuala Lumpur

2 min read
Spread the love

Kumpulan muzik terkenal tempatan, Insomniacks, dengan penuh semangat telah melancarkan album baharu mereka, ‘TEMAN EP’. Album ini dilancarkan pada 9 Ogos 2024, menampilkan lapan lagu termasuk tiga lagu baharu berjudul “Sayang/Cinta,” “Temani Hati,” dan “Dimana”. Selain itu, album ini juga menyertakan lagu-lagu popular mereka seperti “Teman,” “Cerita Kita,” “Igauan Malam,” dan “Belum Mulai.”

Kumpulan ini baru-baru ini menjalani promosi di Jakarta untuk mempromosikan single duet mereka, “Belum Mulai,” bersama bintang Indonesia, Nabila Taqiyyah. Semasa di Jakarta, Insomniacks terkejut dan teruja dengan sokongan padu penonton yang turut serta menyanyi bersama mereka. Penampilan langsung mereka di beberapa stesen radio terkenal di Indonesia, serta kerjasama dengan Nabila, menjadi detik yang amat bermakna bagi kumpulan ini.

Insomniacks juga tidak ketinggalan untuk menjalani promosi di Malaysia dari 7 hingga 10 Ogos. Mereka tampil di pelbagai platform media utama seperti Wanita Hari Ini (WHI) dan Gempak, di mana mereka bukan sahaja ditemuramah tetapi juga mengadakan persembahan akustik. Selain itu, mereka turut melawat beberapa stesen radio seperti ERA Sarawak, ERA, Hot FM, dan Suria FM.

Melangkah ke hadapan, Insomniacks merancang untuk terus menghasilkan karya-karya menarik bagi peminat mereka. Mereka juga mendedahkan bahawa terdapat beberapa projek besar yang sedang disiapkan, termasuk album baharu dan lagu Indonesia yang melibatkan kolaborasi dengan penulis lagu dan penerbit terkenal, Clara dan Toh Pati.

Pelancaran album ‘TEMAN EP’ disambut meriah dengan satu sidang media dan persembahan langsung di Wow Plaza, Aras G, LaLaport BBCC. Acara tersebut turut menampilkan persembahan oleh Insomniacks bersama Nabila Taqiyyah, yang membawakan lagu ‘Belum Mulai’ dan juga salah satu lagu popular beliau sendiri. Album ini kini boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page