October 1, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Insomniacks Kukuhkan Pengaruh Serantau, Umum Single Baharu ‘Seperti Dulu’

Spread the love

Kumpulan pop rock sensasi tanah air, Insomniacks, sekali lagi membuktikan bahawa mereka bukan sekadar fenomena sementara. Dengan tiket konsert jelajah mereka, Echoes of a Dream, habis terjual dalam masa singkat di dua lokasi utama, Zepp Kuala Lumpur (12 Julai) dan Capitol Theatre Singapura (16 Ogos).  Ianya bagai aura bintang mereka terus bersinar terang di pentas Asia Tenggara.

Malah, bukan hanya tiket yang mencuri tumpuan. Cenderahati eksklusif konsert turut laris hingga kehabisan stok, mencerminkan sokongan luar biasa peminat yang bukan sekadar hadir tetapi hadir dengan penuh semangat. Susulan sambutan hangat itu, koleksi barangan rasmi kini ditawarkan secara dalam talian di umusic.my, memberi peluang kepada peminat yang terlepas untuk memiliki memorabilia istimewa Insomniacks.

Memegang gelaran kumpulan dengan streaming tertinggi 2024 di Carta RIM, Insomniacks tidak menjadikan pencapaian itu sebagai titik rehat. Sebaliknya, mereka terus memacu kreativiti dengan melancarkan single terbaru berjudul Seperti Dulu.  Sebuah karya yang bukan hanya sarat emosi, tetapi juga simbol penghargaan kepada peminat setia.

“Lagu ini adalah surat cinta kami untuk semua yang pernah bersama dari hari pertama. Tak kira sejauh mana perjalanan hidup membawa mereka, kami mahu mereka tahu bahawa setiap detik itu amat bermakna buat kami,” ujar anggota kumpulan dengan nada penuh rasa.

Seperti Dulu membawa sentuhan nostalgia yang mengimbau era awal Insomniacks, namun disulam dengan kematangan muzik yang terkini. Lirik ditulis sendiri oleh anggota kumpulan, manakala komposisi oleh Iqie dan susunan muzik bersama produser berpengaruh, Taja sekaligus menjadikan lagu ini hasil kolaborasi jujur dan berjiwa.

Persembahan sulung Seperti Dulu di Singapura baru-baru ini menerima tepukan gemuruh, membuktikan lagu tersebut sudah pun ‘mengikat’ jiwa peminat meskipun belum dilancarkan secara rasmi. Tarikh rasmi pelancaran: 29 Ogos 2025 ini dijangka bakal mengisi ruang carta dan hati peminat sekaligus.

Tidak terhenti di situ, Insomniacks juga merancang untuk melebarkan sayap ke Jakarta pada penghujung September ini sebagai sebahagian daripada kempen promosi antarabangsa mereka bukti bahawa semangat muzik mereka terus hidup dan berkembang merentas sempadan budaya serta geografi.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page