April 16, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Ini Bukan Raya Biasa, Ushera Janji Malam Penuh ‘Groove’ & Kejutan

Spread the love

Penyanyi berimej moden retro, Ushera, terus mencuri perhatian apabila tampil dengan konsep luar kebiasaan sempena Aidilfitri tahun ini menerusi persembahan eksklusif Warna Warni Hari Raya Latin Jazz Style.

Bakal berlangsung di BOBO KL pada 18 April ini, jam 8.30 malam, persembahan itu dijangka menjadi malam penuh magis dengan gabungan irama Latin Jazz yang jarang dipersembahkan dalam lagu raya.

Lebih menarik, Ushera akan diiringi barisan pemuzik berkaliber iaitu Ganesh Bala di piano, Omar Ibrahim Azmi (dram) dan Norman Rahman (bass), sekali gus menjanjikan pengalaman muzik yang lebih ‘hidup’ dan eksklusif.

“Penonton akan disajikan dengan irama kaya, penuh groove dan swing, selain semangat Aidilfitri yang meriah. Ini persembahan satu malam sahaja, jadi memang rugi kalau terlepas,” katanya.

Menurutnya, konsep Latin Jazz dipilih bagi memberi nafas baharu kepada lagu raya selain mempersembahkan sesuatu yang segar buat peminat setianya.

Kemunculan Ushera kali ini turut menandakan kepulangannya dalam arena lagu raya selepas kali terakhir tampil pada 2021 menerusi Kembali yang berunsurkan ghazal Melayu.

Sebelum itu, beliau pernah meraih perhatian menerusi Suka Ria Raya pada 2017 yang memperkenalkan identitinya dalam muzik bernuansa klasik moden.

Tahun ini, Ushera kembali dengan Warna Warni Hari Raya yang bukan saja meriah dari segi melodi, malah sarat mesej perpaduan dan kemajmukan masyarakat Malaysia. Lagu ini berkisar tentang kemeriahan raya, suasana balik kampung, busana baharu dan kegembiraan bersama keluarga serta sahabat.

“Tapi yang paling penting, ia mengangkat semangat kebersamaan dalam masyarakat berbilang kaum yang meraikan perayaan bersama-sama,” katanya.

Menariknya, lagu ini turut menjadi bukti kolaborasi seni merentas budaya apabila Ushera sendiri menulis lirik, manakala Ganesh Bala bertindak sebagai komposer dan penerbit.

Video muziknya pula diarahkan oleh Arnaud Blondel, manakala penampilan visual disempurnakan menerusi kolaborasi bersama pereka fesyen terkenal, Syomir Izwa Gupta.

Gabungan ini menjadikan Warna Warni Hari Raya tampil sebagai karya lengkap yang bukan sahaja sedap didengar, tetapi juga memikat dari segi visual.

Dalam masa sama, Ushera mengingatkan peminat agar tidak berlengah mendapatkan tiket kerana tempat duduk adalah terhad.

Tiket berharga RM100 dan sudah mula dijual sejak 18 Mac lalu.  Pembelian boleh dibuat dengan melungsuri https://bobokl.com/ushera-hari-raya-apr26/ ,

Bagi peminat muzik yang mahukan kelainan, inilah peluang terbaik untuk menikmati raya dalam ‘warna’ berbeza bersama Ushera.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page