September 19, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“Impian Selama 35 Tahun, Bakal Dirialisasikan Menerusi Konsert ByAjai & Friends” – Ajai

Spread the love

Oleh:  Sakka E

Mohd Faizal Maas atau lebih dikenali dengan  nama pentas, Ajai sememangnya begitu sinonim namanya dengan irama ‘killer’ genre balada.  Antara lagu-lagunya yang masih malar segar menjadi siulan bukan satu, bukan dua malah beratus tersusun rapi dalam senarai berdaftar MACP.

Tahun ini menyaksikan Ajai mengorak langkah, berdiri teguh.  Masih aktif menerbitkan lagu-lagu serta aktif di bidang penjurian bagi program-program realiti TV serta aktif di panggung-panggung konsert bersama kumpulan Exists.

Tapi beliau tetap memegang sebuah impian yang digenggam sepanjang 35 tahun iaitu berkarya di pentas kepunyaannya sendiri.  

“Sebenarnya sudah lama saya impikan untuk mengadakan konsert di bawah jenama sendiri, iaitu Ajai.  Ya lah sudah hampir 35 tahun saya berada di persada muzik tanahair.  Sedikit sebanyak terdetik juga impian untuk adakan konsert”, ujar Ajai ketika ditemui media sewaktu pelancaran konsert ByAjai & Mega Friends di Royale Chulan Damansara pada 6 Mac lalu.

“Alhamdulillah pertemuan singkat saya bersama Menara Network sewaktu mengadakan persembahan bersama Exists di Kuching baru-baru ini mendapat respon positif daripada mereka”, katanya.

Cerita santainya bersama pemilik Menara Network Sdn Bhd, Datuk AB Razif telah direalisasikan oleh usahawan tersebut apabila bersetuju dan melamar Ajai untuk menjadi penganjur utama Konsert ByAjai & Mega Friends.

Barisan penyanyi yang dibawakan nanti seperti Dayang Nurfaizah, Hafiz Suip, Aina Abdul, Hazama dan Aufahanie dikenali Ajai daripada tahun-tahun yang berbeza tapi mereka ini kekal dalam gelanggang yang tersendiri hingga ke hari ini.

Pemilihan barisan artis yang bakal beraksi di pentas Konsert ByAjai & Mega Friends bukan calang-calang orangnya.  

“Semua lagu yang saya ciptakan Istimewa bagi saya. Tetapi mereka yang saya pilih untuk konsert pertama saya ini, ada cerita keistimewaan tersendiri,” katanya.

Untuk konsert pertama Ajai, beliau akan menggunakan khidmat Sharon Paul selaku Pengarah Muzik konsert.  Pemuzik-pemuzik juga akan diiringi oleh barisan ‘strings’ bagi menambahkan lagi perisa muzik.  

Sebagai seorang yang sangat cerewet dalam mengetengahkan lagu-lagunya, Ajai pastinya mahukan yang terbaik untuk setiap sudut di konsert pertamanya ini.

“Apa yang saya boleh janjikan, insyaallah, semua lagu yang bakal didendangkan oleh saya mahupun artis-artis Mega Friends saya pastikan lagu ‘karoks’ sampai hilang suara.

“Dan yang pasti juga, kualiti bunyian, susunan muzik dan setiap inci yang dipersembahkan oleh team Menara Network serta produksi tiada kompromi,” kata Ajai dan pihak penganjur.

Konsert ByAjai & Mega Friends akan berlangsung di Mega Star Arena pada 3 Ogos depan akan menjadi satu tarikh keramat buat Ajai dan Menara Network.  

Tiket-tiket konsert boleh dibeli secara online di WWW.TICKET2U.COM.MY . Tawaran harga tiket yang dibuka ini merupakan tawaran ‘Early Birds”.  

Peminat yang membeli tiket-tiket “SUPER MEGA VIP” pula berpeluang untuk sesi ‘Meet & Greet” bersama Ajai dan juga membawa pulang goodie bag merchandise rasmi.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page