Ikon Fesyen Malaysia, Hael Husaini, Tawan Pentas Global
Penyanyi, komposer, dan ikon fesyen terkenal tanah air, Hael Husaini, sekali lagi menarik perhatian dunia dengan kehadirannya di Minggu Fesyen Milan dan Paris FW25. Muncul eksklusif di acara jenama mewah seperti Dolce & Gabbana, Emporio Armani, Zegna, Amiri, dan Kenzo, Hael terus mengukuhkan kedudukannya sebagai figura fesyen global. Ini merupakan kali keempat bintang Rocketfuel Entertainment itu dijemput secara eksklusif ke pentas fesyen Eropah, membuktikan keupayaannya mengimbangi karier seni dan fesyen dengan penuh bergaya.
Hael memulakan perjalanannya di Milan dengan menghadiri pertunjukan fesyen Dolce & Gabbana, tampil dalam rekaan anggun yang memancarkan keberanian serta keyakinannya. Di sana, beliau dilihat mesra bersama selebriti terkenal Korea seperti Jung Hae-in, Nam Yoon-su, dan Noh Sang-hyun, mencuri perhatian media serta peminat fesyen global.
Dalam acara Emporio Armani, Hael berpeluang bertemu dengan maestro fesyen dunia, Giorgio Armani. “Bertemu dengan Giorgio Armani adalah pengalaman luar biasa. Beliau adalah ikon fesyen yang memberi impak besar dalam dunia antarabangsa,” kata Hael, yang amat mengagumi dedikasi dan visi legenda tersebut.
Pertunjukan fesyen Zegna pula menyaksikan Hael bertemu dengan pelakon terkenal Hollywood, Mads Mikkelsen. Kehadirannya terus menyerlahkan pesona sebagai ikon fesyen Malaysia yang mampu bersaing dengan personaliti antarabangsa.
Selepas menawan Milan, Hael melangkah ke Paris untuk meneruskan momentum di pertunjukan fesyen Amiri. Beliau dilihat bergambar bersama selebriti seperti Ed Westwick, Sunwoo (The Boyz), Jespipat Tilapornputt, dan pelakon Thailand terkenal, Bible Sumetikkul.
Di acara Kenzo, Hael turut mencuri tumpuan apabila duduk sebaris dengan ikon fesyen Filipina, Heart Evangelista, serta rapper antarabangsa, NLE Choppa. Gayanya yang unik dan penuh keyakinan menepati tema keberanian serta keaslian yang diketengahkan oleh jenama tersebut.
Sebagai penyanyi dan komposer berbakat, Hael kini meluaskan pengaruhnya ke arena fesyen global. Kehadirannya di Minggu Fesyen Milan dan Paris FW25 bukan sahaja membanggakan nama Malaysia, malah memberi inspirasi kepada generasi muda untuk berani mengejar impian.
“Ini bukan sekadar tentang fesyen atau muzik, tetapi peluang untuk menunjukkan bahawa artis Malaysia mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” ujar Hael dengan penuh semangat.
Dalam masa yang sama, Hael sedang giat membuat persiapan untuk Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39). “Saya mahu memberikan persembahan yang benar-benar ikhlas dan bermakna. Ini peluang untuk berkongsi cerita melalui muzik dan memberikan yang terbaik buat peminat,” katanya.
Dengan penampilan yang memukau di pentas fesyen antarabangsa serta dedikasi tinggi terhadap seni, Hael Husaini membuktikan bahawa tiada batasan untuk mencapai kejayaan. Beliau bukan sahaja mengharumkan nama negara, malah memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus yakin, berusaha, dan mengejar impian mereka.