Ikhwan Fatanna Dedikasi “Hadiah Tuhan” Buat Isteri Tersayang

Nama Ikhwan Fatanna sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan penggiat seni tanah air. Dikenali sebagai komposer, penulis lirik, dan penyanyi, beliau terus melebarkan sayap seninya apabila kini tampil dengan single terbaharu berjudul Hadiah Tuhan, sebuah lagu ciptaan sepenuhnya yang ditujukan khas buat isterinya.
Menempa kejayaan menerusi kemenangan di Anugerah Juara Lagu ke-39 dengan lagu Hening Rindu nyanyian Marsha Milan, Ikhwan Fatanna juga telah bekerjasama dengan ramai penyanyi terkenal termasuk Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Haqiem Rusli, Ernie Zakri, Hafiz Suip dan ramai lagi.
Menurut Ikhwan, Hadiah Tuhan lahir daripada rasa syukur yang mendalam terhadap anugerah terindah dalam hidupnya – seorang isteri yang menjadi pelengkap sempurna. Lagu ini mendapat ilham ketika beliau sedang berbulan madu.
“Saya sangat bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang ini. Sebuah keluarga bahagia bersama isteri dan anak-anak, karya-karya yang dikenali, dan juga penerimaan umum terhadap penglibatan saya dalam industri seni. Saya mengharapkan sokongan yang berterusan untuk semua karya-karya saya tidak kira bila,” ujar Ikhwan.
Sebelum ini, Ikhwan pernah tampil dengan lagu-lagu berunsur kerohanian dan mesej positif seperti Bismillah, selain turut bekerjasama dengan artis-artis Suria Records dalam lagu Abadi bersama Xpose dan Selawat Nuril Anwar bersama Xpose dan Amad Fadlin. Hadiah Tuhan menandakan langkah baharu buat Ikhwan apabila beliau kini secara rasmi menjadi artis di bawah naungan Suria Records.
Lagu Hadiah Tuhan kini boleh dimuat turun di iTunes dan distrim di semua platform digital utama seperti Apple Music, Spotify, YouTube Music dan Deezer. Para peminat juga boleh menikmati lagu ini di saluran radio tempatan pilihan masing-masing.