Ijmal Cinta Ramadan 3.0 Satukan 10 Ikon 80-an & 90-an, Hiburan Dakwah Penuh Makna di Saloma
Keberkatan Ramadan terus diraikan menerusi penganjuran Konsert Ijmal Cinta Ramadan 3.0 yang kembali atas permintaan ramai dengan menampilkan 10 penyanyi popular era 80-an dan 90-an dalam sebuah persembahan berkonsep hiburan dakwah.
Dianjurkan oleh HS Event & Ent Sdn Bhd dengan kerjasama Saloma, konsert berkenaan bakal berlangsung pada 14 Mac 2026 di Saloma, Kuala Lumpur, menjanjikan gabungan elemen kerohanian dan hiburan yang seimbang sepanjang malam.
Antara artis yang bakal menghangatkan pentas ialah Shima, To’Ki, Zur Eda, Norshila Amin, Dayangku Intan, Roy Ratnaku, Mamat Exists, Kopratasa, Zack Kacamata serta kumpulan nasyid legenda, The Rayhan.

Penganjur, Datin Sri Dr Riza Dato’ Che Umar bersama rakan kongsi, Mubarak Akhtar berkata, penganjuran edisi ketiga itu diteruskan susulan sambutan positif yang diterima sebelum ini.
“Rata-rata peminat menyukai konsep hiburan dakwah yang kami bawakan. Kami bukan sekadar menampilkan persembahan dengan nilai spiritual dan ketuhanan yang bersesuaian, malah mengisinya dengan aktiviti ibadah yang signifikan sepanjang Ramadan,” katanya.
Menurut Mubarak, acara akan dimulakan dengan tadarus al-Quran dan tazkirah sebelum berbuka puasa, diikuti solat Maghrib secara berjemaah. Selepas solat Isyak dan tarawih, barulah persembahan artis dimulakan.
Beliau berkata, pihaknya tidak menyangka kesemua artis yang diundang sudi menerima pelawaan untuk menjayakan konsert berkenaan.

“Saya percaya ramai yang teruja untuk menyaksikan mereka kembali beraksi di pentas. Kebanyakan mereka mempunyai perjalanan seni yang hebat serta pengikut setia yang ramai,” ujarnya.
Dalam masa sama, Konsert Ijmal Cinta Ramadan 3.0 turut membawa misi kebajikan apabila sebahagian hasil jualan tiket akan disalurkan bagi membantu sekurang-kurangnya 25 anak seni yang berdepan masalah kesihatan dan kewangan.
Selain itu, pemberian duit raya turut diagihkan kepada anak-anak yatim yang diraikan pada malam tersebut sebagai usaha menyemarakkan lagi semangat Ramadan.
Konsert ini bukan sekadar acara hiburan semata-mata, sebaliknya menjadi platform mengimarahkan Ramadan dengan pengisian rohani, mengeratkan silaturahim serta menyuburkan amalan kebajikan dalam suasana penuh keberkatan
