September 19, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

House Of Patin @Melaka ‘Produk’ Terbaharu Shuib

Spread the love

Shahmira Muhammad yang lebih mesra dengan nama pentas, Shuib membuka lembaran 2024 menerusi ‘produk’ terbaharu beliau iaitu House Of Patin @ Melaka.  Ianya adalah perniagaan makanan yang terinspirasi daripada sifat beliau yang suka mengeksplorasi sesuatu selain mencabar dirinya untuk menjadi usahawan berjaya.

Restoran House Of Patin @Melaka yang terletak sebaris dengan Makan Avanue atau lebih sinonim dengan Cendol Kampung Hulu itu sudah pasti akan menjadi destinasi makanan baru buat pelancong mahupun peminat yang suka kepada makanan masakan tradisional Pahang.

“Alhamdulillah, di awal tahun ini impian untuk membuka House of Patin @Melaka telah terlaksana dan lebih membanggakan saya apabila ianya telah dirasmikan oleh 2 individu ‘hebat’ mewakili 2 buah negeri iaitu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan  Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail”, ujar Shuib

“Sebenarnya saya suka kepada cabaran, apatah lagi ianya melibatkan perniagaan dan tidak salah rasanya jika saya meluaskan lagi ‘produk’ yang berasaskan makanan ikonik Pahang iaitu Ikan Patin Tempoyak”, ujar Shuib ketika ditemui media sempena majlis pembukaan House Of Patin @Melaka yang di adakan pada 1 Januari 2024.

“House Of Patin @Melaka ini terinspirasi setelah acapkali saya makan di House Of Patin Lipis di Kuala Lumpur, bermula daripada situlah maka saya ‘bersahabat’ dengan Ahmad Daniar Ismail dan Max Koh untuk mengusahakan House Of Patin@Melaka ini”, ujarnya

Shuib turut menjelaskan bahawa sebelum ini beliau pernah mengusahakan restoran di lokasi yang sama, namun mengubah konsep serta produk memandangkan perniagaan patin tempoyak ini ada peminatnya yang tersendiri.

“Peminat ikan sungai khususnya ikan patin masak tempoyak ini ada kelompoknya, jika sebelum ini mungkin ada orang Melaka yang terpaksa pergi ke Temerloh semata-mata nak makan ikan patin masak tempoyak. Kini anda tak perlu lagi bersusah payah kerana House of Patin @Melaka menyajikan benda yang sama dan yang pasti resepi dan cara masakan juga memang original Pahang”, katanya

“Mungkin ramai pelanggan beranggapan bahawa menu yang kami sajikan harganya mahal, InshaALLAH tidak membebankan malah harga yang dikenakan adalah berpatutan dan sama saja di tempat lain”

“Bagi peminat ikan-ikan ‘bangsawan’ seperti Kelah, Krai dan sebagainya, kami juga ada menyediakan mengikut kepada permintaan pelanggan.  Maknanya, daripada masyrakat B40 sampailah golongan kayangan boleh menikmati keenakan masakan patin di sini mengikut tekak dan poket mereka”, katanya

House Of Patin @Melaka adalah sebahagian perancangan Shuib untuk tahun 2024, beliau juga turut berkongsi beberapa perancangan yang akan di lakukan antaranya adalah untuk meluaskan lagi empayar Bubblebee ke Thailand, Singapura dan Brunei.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page